Parlimen Jepun awal pagi ini meluluskan Akta Keselamatan baru negara itu, yang bakal menyaksikan pasukan tenteranya terlibat dalam perang atau pertempuran di luar negara selepas lebih 70 tahun tidak terbabit.

Akta berkenaan diluluskan Dewan Tertinggi, dengan undian 148 menyokong, sementara 90 menentang.

Penguatkuasaan akta berkenaan menghapuskan larangan tentera terlibat dalam kempen atau operasi pertahanan sekutunya, biarpun Jepun tidak diancam secara langsung.

Perlembagaan Jepun menyekat penglibatan tentera dalam pertempuran luar negara sejak ia tewas dalam perang dunia kedua 70 tahun lalu.

Proses pengundian akta berkenaan sebelum itu tertangguh beberapa jam, susulan bantahan blok pembangkang dan turut mengundang protes besar-besaran rakyat di luar dewan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe mempertahankan keperluan dasar baru itu bagi mengimbangi kuasa dan ancaman yang disifatkan semakin memuncak dari China.

Parti Liberal Demokratik (LDP) memegang majoriti di kedua-dua dewan rendah dan dewan tertinggi.

Ia membolehkan pengundian akta dijalankan tanpa halangan besar.

Sejumlah 200 jam dihabiskan untuk mendebatkan akta berkenaan sebelum ini.

Dalam pada itu, penganalisis politik menyifatkan akta keselamatan baru berkenaan sebagai satu mesej Jepun kepada dunia bahawa era untuk tidak terlibat dalam konfik susulan polisi pertahanannya sudah berakhir.