ISLAMABAD: Dua parti politik utama Pakistan mendakwa mereka telah mencapai persetujuan rasmi untuk membentuk kerajaan campuran pada Selasa.

Ini sekaligus menamatkan rundingan sengit selama 10 hari selepas Pilihan Raya Nasional yang tidak muktamad dan tidak memberikan majoriti yang jelas.

Perjanjian antara Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Bhutto Zardari dan Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) menamatkan hari ketidaktentuan dan rundingan selepas pilihan raya 8 Februari.

Bhutto Zardari mengesahkan pada sidang media di Islamabad bahawa bekas Perdana Menteri Shehbaz Sharif akan menjadi calon Perdana Menteri gabungan itu.

Katanya lagi, bapanya Asif Ali Zardari akan menjadi calon pakatan itu untuk Presiden negara.

Shehbaz Sharif, adik kepada Nawaz Sharif berkata, kedua-dua parti itu mempunyai jumlah sokongan untuk membentuk kerajaan dan juga mendapat sokongan parti-parti kecil lain.

PML-N ialah parti terbesar dengan 79 kerusi dan PPP kedua dengan 54 kerusi.

Mereka, bersama empat parti lain yang lebih kecil, mempunyai majoriti selesa dalam badan perundangan sebanyak 264 kerusi.

Kelewatan dalam membentuk kerajaan menimbulkan kebimbangan kerana Pakistan sedang bergelut dengan krisis ekonomi.

Bhutto Zardari berkata, parti-parti itu akan mendesak untuk membentuk kerajaan secepat mungkin.

Mengikut perlembagaan negara, satu sidang parlimen perlu dipanggil selewat-lewatnya pada 29 Februari dan selepas itu undian untuk Perdana Menteri baharu akan diadakan.