Skip to main content

Dunia

Pasaran buruh Singapura berkembang pada suku kedua 2026

81758587275_singapore.jpg
Pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan juga terus meningkat, namun pertambahannya hanya 2,200 berbanding 5,400 pada suku sebelumnya, menurut kementerian itu. - Gambar hiasan
Advertisement

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura terus berkembang pada suku kedua 2026, dengan jumlah pekerjaan meningkat kepada 11,400 berbanding 9,400 pada suku sebelumnya.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan peningkatan suku tahunan yang lebih tinggi itu didorong oleh pekerjaan dalam kalangan bukan pemastautin, yang meningkat kepada 9,200 berbanding 4,100 pada suku sebelumnya.

Pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan juga terus meningkat, namun pertambahannya hanya 2,200 berbanding 5,400 pada suku sebelumnya, menurut kementerian itu.

“Secara keseluruhan, pasaran buruh kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026, dengan pertumbuhan pekerjaan yang berterusan dan kadar pengangguran yang rendah.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kurang menggalakkan bagi sesetengah pekerja tempatan apabila pertumbuhan pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan menjadi perlahan, pemberhentian pekerja meningkat dan kadar kembali bekerja dalam tempoh enam bulan merosot,” menurut kementerian itu.

Menurut kementerian berkenaan, kadar pengangguran kekal rendah dan secara umumnya stabil pada Jun 2026, iaitu 1.9 peratus secara keseluruhan, 2.9 peratus bagi penduduk tempatan dan 3.0 peratus bagi warganegara.

Kadar pengangguran jangka panjang dalam kalangan penduduk tempatan meningkat sedikit daripada 0.9 peratus pada Mac kepada 1.0 peratus pada Jun, menurut kementerian itu.

Sementara itu, MOM memaklumkan jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat daripada 3,830 pada suku pertama 2026 kepada 4,620 pada suku kedua tahun ini, manakala kadar pemberhentian pekerja meningkat daripada 1.6 kepada 2.0 bagi setiap 1,000 pekerja.

Peningkatan itu tertumpu dalam sektor berorientasikan pasaran luar, termasuk pembuatan, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan kewangan.

“Penyusunan semula atau penstrukturan semula perniagaan kekal sebagai sebab utama pemberhentian pekerja,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement