Pasukan guaman Maduro dijangka berhujah penahanannya langgar undang-undang antarabangsa

Maduro dan isterinya, Cilia Flores yang ditahan dari kediaman Presiden di Caracas sebelum diterbangkan ke New York kini berdepan pertuduhan konspirasi pengedaran dadah serta kesalahan berkaitan senjata. - Gambar fail AP
NEW YORK: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dijangka membuat penampilan pertama di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Selatan New York hari ini, selepas ditahan dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat yang dramatik hujung minggu lalu.
Menurut penganalisis undang-undang kanan CNN merangkap bekas pendakwa raya, Elie Honig, pasukan guaman Maduro berkemungkinan berhujah bahawa penahanannya melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam operasi ketenteraan berskala besar yang dilakukan pada waktu malam itu, anggota tentera AS menahan Maduro dan isterinya, Cilia Flores, dari kediaman Presiden di Caracas sebelum diterbangkan ke New York.
Pasangan suami isteri itu kini berdepan pertuduhan konspirasi pengedaran dadah serta kesalahan berkaitan senjata.
Honig menjelaskan, pasukan guaman Maduro dijangka mengemukakan hujah bahawa beliau mempunyai “kekebalan kedaulatan, bermakna tidak boleh didakwa atas tindakan yang dilakukan sebagai ketua negara asing.”
Bagaimanapun, Honig mengakui, sukar untuk meramal bagaimana kes ini akan berjalan kerana “kita tidak pernah melihat situasi seperti ini sebelum ini.”
Beliau merujuk kes paling hampir sebagai kes bekas pemimpin Panama, Manuel Noriega, yang didakwa dan disabitkan kesalahan pengedaran dadah di Miami pada awal 1990-an.
Noriega ketika itu mengemukakan hujah yang sama.
Namun, Honig menjangkakan hakim tidak akan menggugurkan kes ini kerana wujud preseden yang memberi kuasa kepada eksekutif untuk membuat keputusan berkaitan tindakan ketenteraan.
“Saya pernah berkhidmat di pejabat itu,” kata Honig merujuk Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Selatan New York.
“Ia mempunyai sejarah panjang mengendalikan kes penjenayah, pengganas dan pengedar dadah paling terkenal di dunia.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


