AFCON 2025: Aksi cemerlang Amad Diallo pastikan Ivory Coast ke suku akhir

Kemenangan ini menyaksikan Ivory Coast mara ke suku akhir AFCON buat kali kesembilan pada abad ke-21, menyamai rekod Nigeri. - Gambar Reuters
BINTANG Manchester United, Amad Diallo, muncul wira pasukan dengan satu jaringan dan satu bantuan gol dalam aksi di Stade de Marrakech, sekali gus mengesahkan pertemuan menarik menentang Mesir di peringkat lapan terbaik.
Ivory Coast bermula garang sejak awal permainan apabila Diallo beberapa kali menguji gawang lawan, sebelum akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-20.
Pemain sayap berusia 21 tahun itu bijak menyambar hantaran terpesong Evan Guessand sebelum melakukan penyudah tenang melepasi penjaga gol Burkina Faso, Herve Koffi.
Diallo sekali lagi menjadi arkitek utama gol kedua 12 minit kemudian apabila lorongannya disudahkan dengan kemas oleh Yan Diomande dari dalam kotak penalti, memberikan kelebihan selesa buat juara AFCON itu.
Burkina Faso cuba bangkit selepas rehat, namun penjaga gol Ivory Coast, Yahia Fofana, tampil cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Dango Ouattara. Harapan Burkina Faso terus malap apabila pemain gantian Bazoumana Toure menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87, selepas melakukan larian solo dari kawasan sendiri sebelum menyudahkan peluang di tiang dekat.
Statistik dan fakta menarik
Prestasi Diallo sekali lagi mencuri tumpuan apabila beliau kini menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan yang dimulakannya di AFCON edisi ini (tiga gol).
Malah, beliau menjadi pemain pertama Ivory Coast yang menjaringkan tiga gol atau lebih dalam satu edisi AFCON sejak legenda negara itu, Didier Drogba, pada 2012.
Diallo juga mencatat sejarah sebagai pemain pertama Ivory Coast yang merekodkan satu gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan kalah mati AFCON sejak Yaya Toure pada 2012.
Kemenangan ini menyaksikan Ivory Coast mara ke suku akhir AFCON buat kali kesembilan pada abad ke-21, menyamai rekod Nigeria, satu lagi bukti keunggulan dan konsistensi juara bertahan di pentas Afrika.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


