INTERNATIONAL
PATI ditahan selepas hantar surat ancam bunuh Trump

Morales-Reyes telah ditahan oleh pihak Imigresen dan Kastam AS (ICE) sehari selepas surat itu diterima. - Foto X/Homeland Security
WASHINGTON: Seorang pendatang tanpa izin (PATI) telah ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) selepas menghantar sepucuk surat yang mengancam untuk membunuh Presiden Donald Trump.
Lelaki tersebut, dikenali sebagai Ramon Morales-Reyes, berusia 54 tahun dan berasal dari Mexico.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Morales-Reyes menghantar surat tulisan tangan kepada kerajaan AS pada 21 Mei, menyatakan niatnya untuk "menembak presiden yang berharga itu di kepalanya" sebelum pulang ke Mexico.
Surat tersebut, yang ditulis dengan dakwat biru di atas kertas bergaris, turut menyebut bahawa beliau marah terhadap dasar Trump yang menyebabkan ahli keluarganya diusir.Morales-Reyes telah ditahan oleh pihak Imigresen dan Kastam AS (ICE) sehari selepas surat itu diterima.
DHS mengesahkan bahawa beliau mempunyai rekod jenayah termasuk kesalahan langgar lari, kerosakan harta benda, dan kelakuan tidak senonoh berkaitan keganasan rumah tangga.
Selain itu, beliau telah cuba memasuki AS secara haram sekurang-kurangnya sembilan kali antara tahun 1998 dan 2005.
Setiausaha DHS, Kristi Noem, mengucapkan terima kasih kepada pegawai ICE atas penahanan Morales-Reyes dan menyatakan bahawa ancaman terhadap Presiden Trump perlu diambil serius.
Beliau turut merujuk kepada cubaan pembunuhan terhadap Trump di Pennsylvania tahun lalu serta kontroversi baru-baru ini melibatkan bekas Pengarah FBI, James Comey, yang didakwa menghantar mesej berkod yang dianggap sebagai seruan untuk membunuh presiden.
Morales-Reyes kini berada dalam tahanan di Penjara Dodge County di Wisconsin, sementara proses pengusiran sedang dijalankan.
Kes ini menambah ketegangan terhadap dasar imigresen Trump, yang telah memperkenalkan langkah agresif termasuk penggunaan Akta Musuh Asing abad ke-18 untuk mengusir pendatang Venezuela yang didakwa terlibat dalam aktiviti geng.
Pihak berkuasa AS menegaskan bahawa mereka akan terus mengambil tindakan terhadap ancaman keselamatan terhadap pemimpin negara, sambil menggesa ahli politik dan media untuk mengurangkan retorik yang boleh mencetuskan keganasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami