DOONBEG, IRELAND: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, tiada negara sepatutnya menikmati kadar faedah lebih rendah daripada AS, hanya beberapa hari sebelum Rizab Persekutuan (Fed) mengadakan mesyuarat dasar monetari minggu ini.
Bercakap kepada wartawan ketika menghadiri kejohanan golf Irish Open pada Ahad, Trump berkata, beliau tidak mengetahui sama ada pembuat dasar Fed akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat yang dijadual berlangsung minggu ini.
Namun, beliau menegaskan, AS seharusnya mempunyai kadar faedah paling rendah di dunia tanpa mengira data inflasi atau prestasi ekonomi yang digunakan Fed dalam pertimbangannya.
Jumaat lalu, Indeks Harga Pengguna (CPI) yang diterbitkan Jabatan Buruh AS mencatatkan peningkatan terbesar dalam tempoh empat bulan, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa bank pusat itu akan menaikkan kadar dana persekutuan yang kini berada pada lingkungan 3.5 hingga 3.75 peratus.
Tekanan harga kekal tinggi ketika ekonomi AS berdepan kesan kenaikan tarif import yang diperkenalkan Trump serta lonjakan harga tenaga berkait konflik perang Iran.
Ramai pegawai Fed bimbang inflasi yang berlarutan pada paras tinggi akan meningkatkan kos untuk mengembalikannya ke sasaran yang ditetapkan.
Mesyuarat Fed kali ini berlangsung hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS yang bakal menentukan sama ada Parti Republikan mampu mengekalkan majoriti tipis mereka di kedua-dua dewan Kongres.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos, sebarang kenaikan kadar faedah berpotensi menambah kebimbangan pengundi terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kadar sokongan terhadap Trump juga dilaporkan merosot berikutan inflasi yang masih berterusan.
Presiden AS berulang kali mendakwa dasar kadar faedah Fed telah memberi manfaat kepada negara lain dengan mengorbankan kepentingan negara itu.
"Saya lebih memahami formula berbanding sesiapa sahaja dan dengan kredit terbaik di dunia, kita sebenarnya menjadikan negara lain lebih kaya," kata Trump.
Trump yang sebelum ini sering mengkritik bekas Pengerusi Fed, Jay Powell, kini dilihat lebih menyokong kepimpinan bank pusat itu selepas calon pilihannya sendiri, Kevin Warsh, dilantik menerajui Fed awal tahun ini.
Bagaimanapun, beliau semakin lantang menyuarakan tuntutannya terhadap hala tuju kadar faedah.
Dua minggu lalu, Trump menulis di media sosial bahawa beliau akan menghentikan perdagangan dengan negara-negara yang mempunyai defisit dagangan dengan AS sekiranya kadar faedah tidak diturunkan.
Dalam kenyataan lanjut sebelum berlepas pulang ke AS pada Ahad, Trump mengulangi amaran tersebut.
"Kita tidak mahu mempunyai defisit dengan mana-mana negara. Kita mahu lebihan dagangan, atau sekurang-kurangnya berada pada kedudukan seimbang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Ekonomi Kebangsaan, Kevin Hassett berkata, Trump akan terus mempertahankan kebebasan Kevin Warsh sebagai pengerusi Fed tanpa mengira keputusan yang dibuat mengenai kadar faedah.
Namun Hassett turut mengakui pendirian Trump berhubung perkara itu.
"Jika Fed menaikkan kadar faedah, saya pasti beliau tidak akan terlalu gembira mengenainya," katanya. - Agensi