INTERNATIONAL
PBB beri amaran krisis berganda burukkan keperluan kemanusiaan di timur Afrika

Sudan Selatan dan Sudan mencatat kadar kekurangan makanan paling tinggi dengan kira-kira separuh daripada jumlah penduduk terjejas. - Reuters
NAIROBI: Pelbagai krisis akibat konflik berterusan, ketidakstabilan politik, kejutan ekonomi, wabak penyakit dan cuaca ekstrem semakin memburukkan keperluan kemanusiaan serta mendorong perpindahan penduduk di timur Afrika, menurut agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) setakat Mac, rantau itu menempatkan lebih 24 juta penduduk yang dipindahkan, termasuk 5.7 juta pelarian dan pencari suaka serta 18.8 juta pelarian dalam negara.
Menurut OCHA, lebih 56 juta penduduk di Burundi, Djibouti, Ethiopia, Kenya, Rwanda, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Tanzania dan Uganda dijangka berdepan tahap krisis kekurangan makanan dari Mei 2024 hingga Jun 2025.
"Sudan Selatan dan Sudan mencatat kadar kekurangan makanan paling tinggi dengan kira-kira separuh daripada jumlah penduduk terjejas. Di Sudan, kebuluran disahkan berlaku di lebih 10 lokasi," menurut OCHA dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan di Nairobi, ibu negara Kenya.OCHA turut melaporkan lebih 36,000 kes taun dan 583 kematian sejak Januari, dengan Sudan Selatan paling teruk terjejas melibatkan lebih 25,000 kes.
Sementara itu, enam negara mengesahkan lebih 4,300 kes mpox, dengan lebih 3,500 kes dilaporkan di Uganda sahaja. Ebola dan Marburg juga disahkan berlaku di Uganda dan Tanzania, menurut OCHA. "Pelbagai wabak penyakit termasuk taun, campak dan mpox terus menimbulkan cabaran besar kepada kesihatan awam."
Agensi PBB itu turut memaklumkan tahap kekurangan zat makanan akut yang tinggi, dengan lebih lapan juta kanak-kanak serta 1.3 juta wanita hamil dan menyusukan anak, terjejas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami