DUNIA
PBB: Dapur komuniti Gaza hanya hasilkan satu pertiga hidangan berbanding 4 bulan lalu

Keadaan kini melangkaui tahap malapetaka dengan lebih banyak kematian direkodkan setiap hari akibat serangan Israel dan kebuluran melampau. - Foto fail/REUTERS
ISTANBUL: Dapur komuniti di Gaza kini hanya mampu menghasilkan kira-kira satu pertiga daripada jumlah hidangan harian yang disediakan pada April lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric memaklumkan kepada pemberita bahawa rakan kongsi di lapangan melaporkan lebih 80 dapur komuniti minggu lalu hanya mampu menyediakan sekitar 380,000 hidangan setiap hari.
"Pada April lepas, jumlah hidangan harian yang dihasilkan dapur komuniti melebihi sejuta setiap hari," katanya.
Menurut Dujarric, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memberi amaran bahawa keadaan kini "melangkaui tahap malapetaka" dengan lebih banyak kematian direkodkan setiap hari akibat serangan Israel dan "kebuluran melampau"."Kematian berkaitan kebuluran terus dilaporkan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan pasukannya melakukan segala usaha yang mungkin untuk mengagihkan makanan, namun bekalan "masih jauh di bawah paras yang sepatutnya". Dujarric menegaskan bahawa bagi mengelakkan kematian, petugas kemanusiaan "mesti dibenarkan mengagihkan makanan dalam skala besar dan secara konsisten melalui semua lintasan dan laluan yang ada".
Sambil mengalu-alukan pengumuman Israel yang menarik balik larangan lima bulan terhadap bekalan tempat perlindungan, Dujarric melahirkan kebimbangan bahawa langkah itu dikaitkan dengan rancangan Israel untuk menduduki Gaza.
Menurut beliau, langkah itu boleh mengusir ribuan lagi penduduk ke kawasan selatan yang sesak dan "hampir tiada infrastruktur serta perkhidmatan asas". PBB menegaskan ia "tidak akan terlibat dalam sebarang pemindahan paksa penduduk".
Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami