ISLAMABAD: Misi diplomatik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan telah mendokumentasikan lebih daripada 1,600 kes pencabulan hak asasi manusia semasa penangkapan dan penahanan individu selepas itu, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan terbaharu yang dikeluarkan pada Rabu.

Laporan itu merangkumi tempoh dari 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2023, dengan kes-kes yang didokumentasikan melibatkan 29 daripada 34 wilayah di Afghanistan.

Menurut laporan itu, separuh daripada pelanggaran tersebut berlaku sepanjang proses penangkapan dan tahanan di tempat-tempat tahanan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan agensi perisikan pihak berkuasa de facto negara itu.

"Dalam usaha untuk mendapatkan pengakuan atau maklumat lain, tahanan mengalami kesakitan dan penderitaan yang teruk, dipukul secara fizikal, renjatan elektrik, dilemaskan dan dipaksa minum air yang banyak, serta mata ditutup dan diugut," tambah laporan itu.

Pihak berkuasa telah digesa untuk segera menghentikan penggunaan penyiksaan secara sistematik dan memenuhi kewajipan mereka untuk melindungi nyawa orang yang ditahan.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan tersebut, Kementerian Luar Taliban memberitahu PBB bahawa mereka menghormati hak tahanan dan Kementerian Dalam Negeri mereka kini sedang menggubal prosedur untuk mencegah hukuman fizikal, penganiayaan dan penyiksaan di pusat tahanan di negara tersebut.

-- BERNAMA