SHARM EL-SHEIKH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis menyeru negara-negara untuk mengambil langkah mengatasi perubahan iklim dan bukannya saling "menuding jari".

Beliau membuat kenyataan itu semasa taklimat akhbar pada Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ke-27 (COP27) yang berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir, lapor Xinhua.

Guterres berkata COP27 bakal berakhir dalam masa 24 jam tetapi jelas terdapat "perpecahan" antara Utara dan Selatan.

Beliau berkata, sekarang bukanlah masa untuk saling menuding jari, permainan menyalahkan antara satu sama lain hanya akan menjadi ramuan utama ke arah lebih banyak lagi kemusnahan.

Mengulas mengenai langkah pencegahan iklim, Guterres menggesa semua pihak bertindak dalam tiga bidang kritikal -- tindak balas terhadap kerugian dan kerosakan, merapatkan jurang pelepasan dan menyampaikan bantuan kewangan.

Setiausaha Agung PBB itu juga meminta negara maju menunaikan ikrar mereka menyediakan US$100 bilion setahun untuk negara membangun dan menetapkan pelan hala tuju yang berkesan bagi menggandakan bantuan kewangan mengikut kesesuaian.

Beliau berkata negara maju "mesti" memberikan sokongan diperlukan negara membangun untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya tahan iklim.

"Tenaga boleh diperbaharui menjadi jalan keluar dari neraka iklim," katanya.

Guterres menyeru supaya kesepakatan segera dicapai pada COP27 kerana masa terus berlalu dan kepercayaan kian terhakis.

Sementara itu, Menteri Luar Mesir dan Presiden COP27 Sameh Shoukry berkata masih terdapat beberapa isu yang kurang mencapai kemajuan pada hari terakhir COP27.

Beliau berkata pihak-pihak yang berkenaan dilihat cuba mengelak daripada membuat sebarang keputusan.

-- BERNAMA