Majlis Keselamatan PBB pada Rabu menggesa Israel dan Palestin agar kembali ke meja rundingan dalam usaha mencapai langkah gencatan senjata yang berkekalan di Gaza.

Kenyataan yang digubal Perancis dipersetujui selepas rundingan di Kaherah hampir terhenti dan keganasan berterusan hingga mengorbankan lebih 2,000 rakyat Palestin sejak 8 Julai.

Walaupun tiada resolusi penuh digubal, diplomat memberi isyarat mereka bersedia bergerak ke arah langkah yang lebih kukuh jika rundingan damai di Mesir terus menemui jalan buntu.

"Tindakan segera yang berlaku hari ini adalah sebagai tindak balas terhadap situasi di mana rundingan kelihatan terhenti dan permusuhan tercetus kembali, maka adalah penting bagi Majlis Keselamatan untuk bertindak," kata Duta Besar Britain Mark Lyall Grant yang juga Presiden majlis berkenaan.

Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Riyad Mansour berkata pasukannya bersedia untuk kembali ke meja rundingan di Kaherah.

"Kami mahu hentikan kematian. Kami mahu hentikan keganasan. Untuk itu, Israel harus menghentikan pencerobohan dan bersetuju dengan perjanjian ini," kata Mansour di ibu pejabat PBB di New York.