Skip to main content

Dunia

Katy Perry anggap Justin Trudeau ‘cinta sejati’, tampil bersama di karpet merah

Justin Trudeau, left, and Katy Perry attend the "Katy Perry: The Lifetimes Tour - Live from Paris" world premiere at the OKX Theater at BMCC Tribeca Performing Arts Center during the Tribeca Festival on Monday, May 8, 2026, in New York. (Photo by Charles Sykes/Invision/AP)
Justin Trudeau (kiri) dan Katy Perry menghadiri tayangan perdana dunia “Katy Perry: The Lifetimes Tour - Live from Paris” di New York, Amerika Syarikat pada 8 Jun 2026. - Gambar AP

NEW YORK: Penyanyi terkenal, Katy Perry menyifatkan bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau sebagai “cinta dalam hidupnya” selepas pasangan itu membuat penampilan sulung di karpet merah.

Pelantun lagu Firework itu hadir bersama Trudeau ke tayangan perdana filem konsert terbaharunya, Katy Perry: The Lifetimes Tour di New York City pada 8 Jun lalu.

Perry, yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Russell Brand dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun, Daisy, hasil hubungan dengan bekas tunangnya Orlando Bloom, meluahkan kebahagiaan terhadap hubungan terbaharunya itu, yang disifatkan sebagai membawa kestabilan dalam hidupnya.

“Saya sangat jatuh cinta. Malah, persembahan itu berlangsung selepas saya bertemu cinta hidup saya, jadi saya berasa lebih berpijak pada realiti.

“Saya ini seperti layang-layang pelangi - terbang tinggi, menyentuh alam semesta, dan kadangkala saya perlukan tempat berpaut. Kini, memiliki tempat berpaut itu membuatkan saya rasa lebih lengkap,” katanya.

Pada usia 41 tahun, Perry mengakui kehidupannya kini berada pada tahap yang membahagiakan.

“Setiap hari adalah perjalanan yang menakjubkan dan peluang untuk berkembang, menjadi insan lebih baik serta menjadi contoh kepada komuniti, keluarga dan dunia.

“Saya rasa lebih stabil dalam banyak aspek kehidupan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Perry turut mengimbas tahun 2025 sebagai antara tempoh paling mencabar dalam hidupnya, susulan berakhirnya pertunangan dengan Bloom.

“Saya melalui banyak perkara sukar, dan ada hari yang benar-benar mencabar.

“Namun saya teruskan kerana saya berjanji kepada peminat, kepada anak saya, dan kepada diri sendiri. Akhirnya saya berjaya melaluinya.

“Saya berjalan melalui ‘api’ itu kerana setiap orang perlu melalui cabaran masing-masing. Jika anda berada dalam situasi sukar, teruskan melangkah kerana di sebaliknya pasti ada kebahagiaan,” katanya.

Penyanyi lagu Roar itu turut menyatakan bahawa dirinya kini telah berubah, dan menerima fasa kehidupan pada usia 40-an.

“Saya berbeza sekarang. Usia 20-an adalah untuk emosi, 30-an untuk memahaminya, dan 40-an adalah untuk tidak lagi terlalu memikirkannya, sebaliknya menyalurkan emosi itu kepada sesuatu yang kreatif.

“Kita semua manusia. Kesedihan, kehilangan dan kesakitan tidak memilih siapa - semua orang mengalaminya dengan cara tersendiri,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement