JURUCAKAP Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata organisasi itu terus mengikuti rapat situasi genting di Kazakhstan.

Katanya, diplomat badan dunia itu sedang berhubung dengan pegawai di Kazakhstan selepas pasukan keselamatan dilaporkan membunuh puluhan penunjuk perasaan.

Sejumlah 12 anggota polis turut dilaporkan maut ketika protes bertukar ganas.

Dujarric turut mengesahkan tindakan antara PBB dan pihak berkuasa di Kazakhstan telah dimulakan, termasuk komunikasi antara Wakil Khas PBB Natalia Gherman dan Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Akan Rakhmetullin.

"Kita sedang memantau keadaan dengan teliti.

"Dan saya memaklumkan di sini, beberapa panggilan telefon telah dibuat antara PBB dan pihak berkuasa di Kazakhstan, termasuk pagi ini antara Natalia Gherman dan Akan Rakhmetullin.

"Semasa perbualan ini, seruan supaya mengawal diri, menghindari keganasan dan menggalakkan dialog untuk menangani situasi telah diulangi Natalia Gherman bagi pihak Setiausaha Agung," kata Dujarric di New York pada Khamis.

Protes ganas itu menyaksikan bangunan kerajaan Kazakhstan diserang dan dibakar.

Menurut pihak berkuasa, seorang pegawai polis ditemui dipenggal dalam pergolakan yang menimbulkan cabaran terhadap pemerintahan kuku besi di negara Asia Tengah itu.

Walaupun pihak berkuasa bertindak balas dengan keras, penunjuk perasaan masih kembali ke jalan raya di bandar terbesar negara itu, Almaty, sehari selepas menceroboh kediaman presiden dan pejabat datuk bandar.