BINTANG pop antarabangsa Britney Spears dilapor menjual keseluruhan hak kepemilikan katalog muziknya kepada syarikat penerbitan muzik Primary Wave, sekali gus menyerahkan hak terhadap himpunan lagu-lagu ikonik yang melonjakkan namanya sejak era 1990‑an.
Perjanjian itu dikatakan dimeterai pada 30 Dis lalu dan merangkumi lagu-lagu popular seperti …Baby One More Time, Oops!… I Did It Again, Gimme More, Circus serta I’m Not A Girl, Not Yet A Woman.
Advertisement
Laporan awal oleh TMZ menyifatkannya sebagai satu “perjanjian bersejarah,” dengan anggaran nilai sekitar AS$200 juta, menurut sumber yang dipetik pelbagai media hiburan.
Primary Wave, yang terkenal sebagai syarikat aktif membeli katalog artis ternama termasuk milik Prince, Whitney Houston, Bob Marley dan Stevie Nicks, kini mengambil alih kepentingan Spears dalam katalog tersebut.
Walaupun butiran penuh belum didedahkan, laporan menyatakan transaksi itu merangkumi pegangan Spears terhadap bahagian hak rakaman dan hak penerbitan tertentu, memandangkan Sony Music masih memegang kawalan katalog rakaman asal penyanyi itu.
Langkah besar Spears ini berlaku selepas beberapa tahun penuh perubahan dramatik dalam hidupnya, termasuk pembebasan daripada perintah penjagaan selama 13 tahun pada 2021, serta penerbitan memoir laris The Woman in Me pada 2023.
Sumber industri percaya penjualan katalog ini memberi ruang kewangan yang lebih stabil kepada Spears sambil melepaskan beban pengurusan aset muziknya yang luas.
Ia juga menambah portfolio mega Primary Wave yang semakin berkembang sebagai peneraju dalam pengambilalihan hak muzik global.