NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berikrar untuk bertindak segera terhadap sebarang maklumat baharu daripada Israel berkaitan "penyusupan Hamas".

Ia selepas Israel menuduh 12 kakitangan Agensi Pelarian Palestin PBB mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober oleh kumpulan pejuang itu.

Siasatan dalaman PBB telah dilancarkan ketika Amerika Syarikat (AS), iaitu penderma terbesar kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan negara lain menghentikan pembiayaan berikutan dakwaan itu.

Dokumen risikan Israel enam muka surat turut mendakwa bahawa kira-kira 190 pekerja UNRWA, termasuk guru, meyertai Hamas.

Bagaimanapun, Guterres dan ketua UNRWA Philippe Lazzarini tidak menerima sebarang maklumat lanjut daripada Israel sejak tuduhan awal terhadap 12 kakitangan itu dibuat.

Ketika ini ia idak jelas sama ada Israel telah memberikan maklumat kepada siasatan dalaman PBB.

Bagaimanapun rakyat Palestin menuduh Israel memalsukan maklumat untuk memburukkan UNRWA.

Ia berikutan UNRWA telah menggaji 13,000 orang di Gaza, mengendalikan sekolah, klinik penjagaan kesihatan utama dan perkhidmatan sosial lain dan mengedarkan bantuan kemanusiaan.

Bulan lalu, Guterres menggambarkan UNRWA "tulang belakang bagi kesemua tindak balas kemanusiaan di Gaza" dan merayu kepada semua negara untuk "menjamin kesinambungan kerja menyelamatkan nyawa".