SUKAN
Selepas 28 tahun, Goldberg bersara dari arena gusti

Goldberg menamatkan karier gustinya dalam perlawanan kejuaraan dunia menentang Gunther pada acara khas Saturday Night’s Main Event, iaitu satu perlawanan yang telah lama diimpikannya sebagai pentas persaraan rasmi. - Foto tangkap layar YouTube WWE
SELEPAS hampir tiga dekad menjadi simbol kekuatan dan dominasi dalam dunia gusti profesional, Bill Goldberg akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada satu malam penuh emosi di kampung halamannya sendiri, di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.
Ringkasan AI
- Goldberg menamatkan karier gustinya selepas 28 tahun dalam perlawanan persaraan menentang Gunther di Atlanta, Georgia.
- Beliau dikenang sebagai legenda WCW dan WWE dengan gerakan ikonik seperti 'spear' dan 'jackhammer', serta debut bersejarah menentang The Rock pada 2003.
- Dalam ucapan persaraan, Goldberg menamakan anaknya, Gage, sebagai pewaris legasinya di WWE.
Walaupun sempat mempamerkan gerakan ikonik seperti 'spear' dan 'jackhammer', perlawanan ini bukan ditulis seperti skrip biasa Goldberg tetapi ia lebih kepada rentak Gunther yang berjaya melemahkan cabarannya secara taktikal, sekali gus menafikan gelaran 'kejuaraan dunia heavyweight WWE' kepada Goldberg.
Sungguh pun begitu, detik manis tetap milik penggusti berusia 58 tahun itu apabila beliau diberi ruang mengucapkan selamat tinggal di tengah gelanggang, dikelilingi keluarga dan sahabat terdekat.
Goldberg mula mencipta nama dalam WCW pada tahun 1997, sebelum meningkat naik sebagai bintang utama dengan rekod tanpa kalah dan slogan ikoniknya, “Who’s next?”.
Namun antara detik paling diingati peminat adalah kemunculan pertamanya di WWE pada 31 Mac 2003, ketika The Rock sedang melakukan promo selepas WrestleMania XIX dan menghentamnya dengan 'spear', sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam kariernya.
Kini, selepas 28 tahun yang penuh aksi, adrenalin dan memori, Goldberg akhirnya meninggalkan gelanggang. Dalam ucapan persaraannya, Goldberg sempat menyentuh soal legasi dan masa depan WWE.
“Ia satu perjalanan yang luar biasa. Tiada siapa yang boleh jadi Goldberg yang seterusnya,” katanya sambil tersenyum – sebelum menarik semula kenyataan itu.
Ikon gusti itu kemudian meletakkan tangan di bahu anaknya, Gage Goldberg, dan berkata penuh semangat: “Kecuali budak ini!”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami