NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam keras serangan udara gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi pergerakan Houthi di Yaman pada Jumaat.

Serangan tersebut meragut nyawa sekurang-kurangnya 60 orang di pusat tahanan yang dikendalikan pihak Houthi di wilayah Saada.

Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata, beberapa serangan udara juga dilaporkan di kawasan lain di Yaman yang turut mengorbankan kanak-kanak.

"Serangan udara ke atas fasiliti telekomunikasi di Hodeidah menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan internet di seluruh negara.

"Setiausaha Agung menggesa siasatan terperinci dijalankan dengan segera secara bagi memastikan kebertanggungjawaban," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pertubuhan amal Save the Children dalam satu kenyataan berkata, tiga kanak-kanak dilaporkan maut di Hodeidah.

Gabungan diketuai Arab Saudi memerangi pergerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman sejak 2015.

Gabungan itu berkata insiden yang dilaporkan mengorbankan nyawa puluhan orang pada Jumaat akan disiasat secara bebas dan diluluskan pihak antarabangsa.

Serangan yang ditujukan ke arah bangunan tentera Houthi telah dipertingkatkan baru-baru ini selepas pergerakan itu berulang kali melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin selain serangan dron ke beberapa bandar di Arab Saudi.

Dalam satu sidang media pada Jumaat, Guterres berkata serangan ini perlu dihentikan.

Dujarric berkata, Guterres mengingatkan semua pihak yang terlibat perlu memastikan orang awam dilindungi daripada segala operasi ketenteraan yang dijalankan.

Majlis Keselamatan PBB turut mengecam keras serangan ke atas UAE dan beberapa bandar di Arab Saudi oleh kumpulan Houthi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat selepas mengadakan mesyuarat tertutup.

Konflik di Yaman sejak gabungan itu campur tangan di negara itu pada Mac 2015 selepas gerakan itu menggulingkan kerajaan yang disokong Arab Saudi dari ibu negara Sanaa telah mengorbankan puluhan ribu orang dan memaksa jutaan penduduk hilang tempat tinggal.