KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mencadangkan pertemuan secara bersemuka dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin menerusi sepucuk surat terbuka yang jarang dibuat, pada Khamis.
Cadangan itu dikemukakan tidak lama selepas Kremlin mengakui keperluan untuk memperkukuh sistem pertahanan udara Rusia susulan serangan berterusan oleh Ukraine.
Kremlin memaklumkan, Putin belum menerima surat tersebut, namun menyatakan Zelenskyy boleh bertemu beliau di Moscow “pada bila-bila masa” - satu cadangan yang terlebih dahulu ditolak oleh pemimpin Ukraine itu dalam suratnya.
“Ukraine mencadangkan untuk menamatkan perang ini melalui perbincangan secara langsung antara kita - dan anda. Saya mencadangkan satu pertemuan,” kata Zelenskyy.
Beliau turut mencadangkan supaya tarikh jelas ditetapkan bagi pertemuan berkenaan, selain menyatakan Ukraine bersedia melaksanakan gencatan senjata penuh sepanjang tempoh rundingan berlangsung.
Surat itu diterbitkan sehari selepas dron Ukraine menyerang Saint Petersburg, bandar kelahiran Putin yang ketika ini menjadi tuan rumah forum ekonomi antarabangsa utama.
Zelenskyy sebelum ini berulang kali menyeru pertemuan langsung dengan Putin, dengan menegaskan hanya rundingan bersemuka mampu menghasilkan persetujuan berkaitan isu wilayah.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, rundingan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) gagal membawa kedua-dua pihak hampir kepada sebarang kesepakatan.
Rusia, yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, menetapkan syarat Ukraine perlu berundur dari wilayah Donbas di timur negara itu -walaupun sebahagiannya masih dikuasai tentera Kyiv - sebagai prasyarat kepada rundingan damai.
Dalam pada itu, ketika bercakap kepada wartawan asing di Saint Petersburg sebelum surat tersebut didedahkan, Putin sekali lagi mempertikaikan kesahihan kepimpinan Zelenskyy.
Beliau berkata, isu sama ada Zelenskyy masih _Presiden sah Ukraine memerlukan “analisis lanjut”, susulan tamatnya penggal lima tahun beliau pada 2024.
Undang-undang darurat yang dikuatkuasakan semasa perang melarang pilihan raya diadakan di Ukraine, dan Zelenskyy sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihan raya atau referendum selepas gencatan senjata penuh dicapai.
Putin pula menegaskan, beliau hanya bersedia bertemu Zelenskyy untuk memuktamadkan perjanjian yang telah dipersetujui dan menolak cadangan pertemuan awal.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dilaporkan berkata, Zelenskyy boleh datang ke Moscow pada bila-bila masa selepas surat itu didedahkan.
Serangan meningkat, pertahanan udara mahu diperkukuh
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Ukraine memperhebat serangan balas jarak jauh ke atas sasaran tenaga dan ketenteraan Rusia, yang disifatkan sebagai tindak balas terhadap serangan harian oleh tentera Moscow.
“Jika anda tidak secara peribadi membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya menamatkan perang ini, Ukraine akan terus berjuang untuk kelangsungan negara,” kata Zelenskyy dalam surat itu.
Putin pada masa sama memuji pencapaian tenteranya di medan perang, sambil menolak dakwaan bahawa operasi ketenteraan Rusia merupakan kegagalan strategik.
Beliau berkata, tentera Rusia kini “semakin mara di sepanjang barisan hadapan” dan menegaskan kesediaan Moscow untuk mencapai perjanjian damai melalui jalan rundingan.
Bagaimanapun, kadar kemaraan Rusia dilaporkan semakin perlahan sejak penghujung 2025, dengan Ukraine menunjukkan peningkatan prestasi dan berjaya merampas semula beberapa kawasan.
Pada masa sama, Putin mengakui keperluan untuk memperkukuh sistem pertahanan udara Rusia, sehari selepas dron Ukraine menyerang terminal minyak dan pangkalan tentera laut di Saint Petersburg, seiring pembukaan Forum Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg.
“Rusia mempunyai sistem pertahanan udara. Ya, kita perlu memperbaikinya. Ya, kita perlu memperkukuhkannya. Dan kita akan melakukannya,” katanya. - Agensi