PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pejabat Hak Asasi Manusianya mengeluarkan laporan penilaian tentang kebimbangan berlakunya pencabulan hak asasi manusia di Wilayah Autonomi Xinjiang, China melibatkan etnik Uighur.

Menerusi satu kenyataan media, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata, laporan berkenaan dikeluarkan berikutan dakwaan berlakunya pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uighur dan komuniti Islam.

Laporan itu juga turut mendedahkan tindakan penahanan sewenang-wenang dan diskriminasi terhadap etnik Uighur dan umat Islam mungkin merupakan jenayah antarabangsa terutama dari suduh jenayah terhadap kemanusiaan.

Ia berkata bahawa dunia kini mesti memberi perhatian segera kepada situasi hak-hak asasi manusia di Xinjiang.

"Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mengeluarkan penilaian tentang kebimbangan hak asasi manusia di Wilayah Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR).

"Penilaian itu dimulakan berikutan dakwaan serius pencabulan hak asasi manusia terhadap Uyghur dan komuniti lain yang kebanyakannya Islam dibawa ke perhatian Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dan mekanisme hak asasi manusia PBB sejak lewat 2017, khususnya dalam konteks dasar dan langkah Kerajaan China untuk memerangi keganasan dan ekstremisme," jelas kenyataan itu.

Penilaian terbabit juga berdasarkan semakan rapi bahan dokumentari yang tersedia, dengan kredibilitinya dinilai mengikut standard metodologi hak asasi manusia.

Perhatian khusus juga diberi terutama dari aspek undang-undang, dasar, data dan kenyataan daripada Kerajaan China sendiri.

Susulan penilaian itu, Kerajaan China turut diminta memberikan maklumat, pertukaran teknikal serta terlibat dengan dialog berhubung isu itu.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB jelas kenyataan itu lagi, bersedia untuk menyokong Kerajaan China dalam menangani isu dan memberikan cadangan berdasarkan penilaian yang telah dibuat.

Sebelum ini, layanan China terhadap penduduk di Xinjiang telah lama dibuat oleh kumpulan hak-hak asasi manusia, negara-negara Barat dan masyarakat Uighur yang hidup dalam buangan.

Michelle Bachelet iaitu Ketua Hak Asasi manusia PBB memutuskan bahawa penilaian penuh diperlukan terhadap keadaan di dalam Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR) itu.

Laporan itu dibuat dalam tempoh masa kira-kira setahun sebelum disiarkan.

Sebelum ini, China telah dituduh menahan lebih satu juta etnik Uighur dan orang Islam di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, Beijing menolak sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa kerajaan negara itu mengendalikan sebuah pusat vokasional direka untuk membendung aktiviti ekstremisme.