DUNIA
PBB laksana pemotongan drastik bantuan kemanusiaan susulan krisis pembiayaan

OCHA berkata tidak pernah berlaku sebelum ini penurunan mendadak dana bantuan kemanusiaan sebegini. - Gambar fail/AP
GENEVA: Pejabat PBB bagi Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Isnin memaklumkan pihaknya terpaksa membatalkan bantuan yang dirancang untuk berjuta-juta orang akibat kekurangan dana yang serius, sambil menyifatkan langkah itu sebagai "amat berat", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Pejabat PBB (OCHA) terpaksa mengurangkan bantuan kepada berjuta-juta orang akibat kekurangan dana yang serius.
- Sehingga Jun, hanya US\$5.6 bilion berjaya dikumpulkan daripada sasaran baharu US\$29 bilion bagi tahun 2024.
- Timbalan Setiausaha Agung OCHA, Tom Fletcher, menyeru negara-negara penderma terus komited demi tanggungjawab global.
"Perhitungan ini amat menyakitkan, dan akibatnya amat menyedihkan. Terlalu ramai yang tidak akan menerima bantuan yang diperlukan, namun kami akan cuba menyelamatkan seramai mungkin dengan sumber yang ada."
Selain Amerika Syarikat (AS) yang telah mengurangkan peruntukan bantuan luar secara drastik dan memutuskan hubungan dengan beberapa agensi PBB, beberapa negara lain turut melaksanakan pemotongan besar terhadap bajet bantuan antarabangsa masing-masing.
Pada Disember lalu, OCHA menyasarkan untuk mengumpul US$44 bilion bagi usaha bantuan kemanusiaan global pada 2024, namun jumlah itu kini diturunkan kepada US$29 bilion - dan angka itu sendiri masih belum pasti. Setakat Jun, hanya US$5.6 bilion telah diterima.
Pelan yang disemak semula itu hanya membolehkan bantuan disalurkan kepada 114 juta orang, berbanding sasaran asal sebanyak 180 juta - dan itu pun hanya dapat dicapai jika sasaran pembiayaan baharu berjaya diperoleh, menurut OCHA.
Agensi itu tidak menyatakan negara penderma mana yang telah memotong bajet mereka, namun menegaskan bahawa bantuan akan terus disampaikan kepada golongan paling rentan di semua negara operasi OCHA, selagi ada keupayaan.
"Pemotongan dana yang ketara memaksa kami membuat keputusan yang amat sukar," kata Fletcher.
"Apa yang kami minta hanyalah 1 peratus daripada apa yang anda belanjakan untuk peperangan tahun lalu. Tapi ini bukan sekadar rayuan untuk dana - ia adalah seruan kepada tanggungjawab global, solidariti kemanusiaan, dan komitmen untuk menamatkan penderitaan."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami