DUNIA
PBB: Pengguna dadah global meningkat kepada 316 juta, pasaran kokain semakin meluas

Jumlah pengguna dadah di seluruh dunia meningkat kepada 316 juta orang pada 2023, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Khamis. - Foto hiasan
VIENNA: Jumlah pengguna dadah di seluruh dunia meningkat kepada 316 juta orang pada 2023, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jumlah itu bersamaan enam peratus daripada populasi dunia berumur antara 15 hingga 64 tahun yang menggunakan dadah - tidak termasuk tembakau atau alkohol - menurut Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) di Vienna dalam Laporan Dadah Dunia 2025 berdasarkan data 2023.
Pada 2013, 5.2 peratus daripada populasi dunia pernah menggunakan dadah.
Kanabis kekal sebagai dadah paling banyak digunakan dengan 244 juta pengguna, diikuti opioid (61 juta), amfetamin (30.7 juta), kokain (25 juta) dan ekstasi (21 juta), menurut laporan itu."Edisi Laporan Dadah Dunia kali ini menunjukkan kumpulan penyeludupan dadah terancang terus menyesuaikan diri, mengeksploitasi krisis global dan menyasarkan populasi rentan," kata Pengarah Eksekutif UNODC Ghada Waly.
"Kita mesti melabur dalam langkah pencegahan dan menangani punca utama perdagangan dadah di setiap peringkat rantaian bekalan haram. Kita juga perlu memperkukuh tindak balas melalui penggunaan teknologi, kerjasama rentas sempadan, penyediaan sumber pendapatan alternatif, dan tindakan kehakiman yang menyasarkan pelaku utama rangkaian ini."
Antara semua jenis dadah, pasaran kokain didapati berkembang paling pantas, menurut laporan tahunan itu.
Pengeluaran kokain haram meningkat lebih satu pertiga berbanding tahun sebelumnya kepada rekod 3,708 tan pada 2023. Jumlah pengguna pula meningkat daripada 17 juta kepada 25 juta antara 2013 dan 2023.
Menurut pakar PBB, ledakan kokain bukan sahaja membawa kepada lebih banyak kematian berkaitan dadah, tetapi juga kepada peningkatan keganasan antara kumpulan jenayah yang bersaing dalam penyeludupan dadah.
Keadaan ini turut dapat diperhatikan di Eropah Barat dan Tengah. Di kedua-dua rantau itu, lebih banyak kokain telah dirampas berbanding Amerika Utara sejak beberapa tahun lalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami