GENEVA: Sekurang-kurangnya 27.7 juta kanak-kanak terjejas tahun ini disebabkan kejadian banjir dan bencana di 27 negara di seluruh dunia akibat perubahan iklim, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa.

Kanak-kanak itu terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk kematian akibat lemas, wabak penyakit, kekurangan air minum bersih, kekurangan zat makanan, gangguan dalam pembelajaran dan keganasan, lapor Xinhua memetik kenyataan pertubuhan itu.

Semasa menghadiri Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Sharm el-Sheikh, Mesir, pengarah komunikasi dan advokasi global di UNICEF, Paloma Escudero memberitahu media melalui pautan video bahawa beliau sedang bekerjasama dengan aktivis iklim belia dari seluruh dunia untuk memberi tumpuan kepada kesan krisis iklim terhadap kanak-kanak.

Di Pakistan, kejadian banjir baru-baru ini yang disifatkan terburuk dalam tempoh 100 tahun telah mengorbankan sekurang-kurangnya 615 kanak-kanak dan menyebabkan 10 juta kanak-kanak memerlukan bantuan segera untuk menyelamatkan nyawa, katanya.

Hampir 1.6 juta kanak-kanak di kawasan banjir di Pakistan mungkin mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.

"Seseorang perlu berada di Pakistan untuk memahami skop kemusnahan.

"Di Afrika juga, kanak-kanak terpaksa berdepan bencana iklim," kata Escudero.

Beliau menggesa pemimpin politik dan ahli perniagaan di seluruh dunia mengambil tindakan segera bagi melindungi kanak-kanak daripada bencana iklim dengan menyesuaikan perkhidmatan sosial kritikal seperti diharapkan serta mengajar kanak-kanak cara bertindak balas terhadap bencana melalui kemahiran lestari untuk masa hadapan.

"Pada 2021, negara-negara maju berjanji untuk menggandakan sokongan penyesuaian kepada US$40 bilion setahun menjelang 2025.

"Pada COP27, mereka perlu membentangkan pelan hala tuju yang boleh dipercayai dan pencapaian yang jelas tentang bagaimana ini akan dibiayai, sebagai langkah ke arah penyaluran sekurang-kurangnya US$300 bilion setahun bagi tujuan penyesuaian menjelang 2030," kata Escudero.

-- BERNAMA