Ringkasan AI
- Seorang pegawai kanan tentera Iran menegaskan peralatan ketenteraan AS yang dirampas membantu meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu.
- Iran menolak dakwaan Washington dan Israel mengenai kelemahan ketenteraan, menyifatkannya sebagai propaganda dan perang psikologi.
- Iran terus memperkukuh industri pertahanan tempatan serta meningkatkan pengeluaran senjata untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
TEHRAN: Seorang pegawai kanan tentera Iran mendakwa peralatan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang dirampas sebelum ini membantu meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu, sekali gus menolak dakwaan Washington dan Israel bahawa kekuatan ketenteraan Tehran semakin lemah.
Penasihat kepada Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigadier Jeneral Ali Balali, menyifatkan dakwaan mengenai kelemahan ketenteraan Iran sebagai propaganda dan perang psikologi.
Menurut laporan Press TV, Balali berkata kemampuan pertahanan Iran terus berkembang sejak berakhirnya apa yang disifatkannya sebagai "perang yang dipaksakan selama 40 hari", dengan angkatan bersenjata negara itu kini memiliki lebih banyak sumber dan aset berbanding sebelum ini.
Beliau mendakwa pelbagai peralatan dan aset yang dirampas daripada pihak musuh kini digunakan oleh pakar industri pertahanan Iran untuk dikaji dan dianalisis bagi memperkukuh pembangunan teknologi pertahanan tempatan.
"Pelbagai peralatan dan aset telah dirampas daripada musuh, dan pakar industri pertahanan sedang meneliti serta memanfaatkan teknologi berkenaan," katanya seperti dipetik Press TV.
Balali turut berkata pengeluaran peralatan pertahanan buatan tempatan meningkat dalam tempoh kebelakangan ini, selaras dengan usaha Iran mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar.
"Tidak seperti sesetengah negara yang bergantung kepada sumber asing untuk keselamatan mereka, Republik Islam Iran tidak mencari keselamatan yang diimport," katanya.
Beliau menegaskan angkatan tentera Iran berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan mempunyai bekalan senjata yang mencukupi untuk mempertahankan negara dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, sebarang salah percaturan atau tindakan bermusuhan terhadap Iran akan menerima tindak balas yang keras dan memusnahkan.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dengan AS serta sekutunya terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa di tengah-tengah konflik dan persaingan geopolitik yang berlarutan di rantau Asia Barat.
Menurut Press TV, Iran pada masa sama terus memperkukuh industri pertahanannya menerusi pembangunan teknologi tempatan dan peningkatan kapasiti pengeluaran senjata bagi menjamin keupayaan pertahanan negara.