PENGARAH Badan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Craig Mokhiber, meletakkan jawatan sebagai bantahan ke pertubuhan itu yang disifatkan gagal dalam menjalankan tugas menghalang pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin di Gaza oleh rejim Israel.

Dalam surat perletakkan jawatannya, Mokhiber berkata  Amerika Syarikat (AS), UK dan sebahagian kuasa besar Eropah bersubahat sepenuhnya dalam serangan ngeri berkenaan.

Mokhiber menulis pada 28 Oktober kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB, Volker Turk di Geneva yang surat berkenaan menjadi komunikasi terakhirnya sebagai pegawai tertinggi PBB di New York.

Mokhiber juga mengakui bahawa sekali lagi PBB dilihat tidak berdaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di hadapan mata.

“Sebelum ini, PBB telah gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai terhadap Tutsi di Rwanda, Muslim di Bosnia, Yazidi di Kurdistan Iraq dan Rohingya di Myanmar.

“Pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin adalah kesinambungan penganiayaan selama berdekad-dekad ..dan ia hanya berdasarkan sepenuhnya status mereka sebagai orang Arab,” tegasnya.

Mokhiber menambah, apa yang berlaku di Palestin merupakan contoh yang menepati definisi pembunuhan beramai-ramai.

“AS, UK dan kebanyakan negara Eropah bukan sahaja enggan mematuhi kewajiban perjanjian di bawah Konvensyen Geneva, malah mengukuhkan serangan Israel serta menyediakan perlindungan diplomatik dan politik,” katanya.

Dalam surat perletakkan jawatannya, Mokhiber juga menyeru agar kezaliman Israel dihentikan.

Beliau juga menyokong penubuhan negara sekular tunggal yang demokratik di seluruh Palestin dengan hak yang sama diberikan kepada orang Kristian, Islam, dan Yahudi.

Mokhiber telah bekerja untuk PBB sejak 1992 dengan berkhidmat dalam beberapa jawatan berpengaruh tinggi

Beliau juga mengetuai kerja pesuruhjaya tinggi dalam merangka pendekatan pembangunan berasaskan hak asasi manusia, dan bertindak sebagai penasihat kanan hak asasi manusia di Palestin, Afghanistan dan Sudan.

Dalam peranannya sebagai pengarah pejabat pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia di New York, beliau pernah diserang oleh kumpulan pro-Israel kerana komennya di media sosial.

Beliau juga pernah dikritik kerana menyiarkan sokongan terhadap gerakan boikot, pelepasan, sekatan (BDS) dan menuduh Israel melakukan apartheid - tuduhan yang diulanginya dalam surat persaraannya.