DUNIA
Peguam khas mohon waran tangkap terhadap bekas presiden Korea Selatan Yoon

Pemfailan permohonan waran tangkap terhadap Yoon dibuat selepas beliau berulang kali gagal mematuhi perintah hadir untuk disoal siasat. - AP
SEOUL: Peguam khas Korea Selatan yang menyiasat tindakan bekas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera untuk tempoh singkat memohon waran pada Selasa bagi menahan beliau atas pertuduhan menghalang tugas rasmi, lapor Agensi Berita Yonhap.
Peguam khas yang diketuai Cho Eun-suk itu memfailkan permohonan waran tangkap terhadap Yoon selepas beliau berulang kali gagal mematuhi perintah hadir untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis tahun lepas.
"Pasukan penyiasat yang mengambil alih kes ini pada Isnin memutuskan untuk memohon waran tangkap bagi tujuan siasatan," menurut pasukan itu dalam satu kenyataan.
Tindakan itu dibuat sejurus selepas pasukan peguam khas memulakan operasi pada Rabu lepas, susulan kelulusan rang undang-undang awal Jun yang mewajibkan siasatan bebas berhubung dakwaan pemberontakan terhadap Yoon.Sebelum kes itu diserahkan kepada peguam khas, polis telah memanggil Yoon untuk disoal siasat pada 5, 12 dan 19 Jun, tetapi beliau mengabaikan ketiga-tiga panggilan berkenaan.
Yoon telah dinamakan sebagai suspek atas tuduhan mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Presiden menghalang pelaksanaan waran tangkap terhadapnya oleh Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan (CIO) pada awal Januari.
Beliau juga disyaki memadam rekod daripada telefon khas yang digunakan tiga panglima tentera tidak lama selepas cubaan beliau untuk menguatkuasakan undang-undang tentera gagal.
Peguam Yoon mendakwa pelaksanaan waran tangkap oleh CIO sebagai tidak sah, yang menjadi alasan keengganannya mematuhi arahan hadir untuk disoal siasat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami