Tidak pernah terlintas di fikiran Yuen Wen Hao untuk menjadi petugas barisan hadapan dalam kerja-kerja nyahkuman di hotel terapung, antara lokasi yang menempatkan pekerja asing yang sihat daripada asrama di Singapura.

Hotel terapung, kem askar, pangsapuri lembaga perumahan yang kosong dan Pusat Pameran Changi telah berubah menjadi kawasan penempatan sementara kepada lebih 5,000 pekerja yang kebanyakannya terbabit dalam perkhidmatan penting, untuk mengelak daripada dijangkiti pekerja yang positif COVID-19.

Yuen berkhidmat di Getz Cleanz, syarikat pembersihan dan nyahkuman berlesen.

Syarikat itu telah menempatkan 40 pekerjanya di hotel terapung itu yang didiami kira-kira 500 pekerja asing, sejak April tahun ini.

Yuen yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan membuat keputusan untuk meninggalkan rumah sewanya di Bukit Indah, Johor dan menetap di Singapura bersama isteri dan anaknya sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia berkuat kuasa pada 18 Mac.

Yuen yang berusia 32 tahun, rakan setugas serta pihak atasan mereka berusaha membantu kesemua individu dalam menangani krisis yang tercetus akibat COVID-19 itu.

Selain hotel terapung, Yuen dan rakan sekerjanya telah bergerak ke seluruh Singapura untuk menjalankan kerja-kerja nyahkuman di kawasan yang disahkan mempunyai jangkitan COVID-19 seperti pejabat Penguasa Pengangkutan Darat dan Asrama CDPL Tuas.

"Kami perlu berada di asrama yang semua sedia maklum, bahawa jumlah yang dijangkiti adalah tinggi. Di kawasan itu, kami perlu mengenakan sepenuhnya sut peralatan perlindungan diri (PPE) sambil membawa tangki berisi bahan kimia nyahkuman di belakang," katanya kepada Bernama.

"Kami membersihkan kawasan itu selama berjam-jam. Ia membimbangkan dan pada masa yang sama, meletihkan.

"Ia benar-benar menakutkan kerana kami mungkin boleh dijangkiti, namun dalam tempoh yang sukar ini... bagi keluarga kami, kami tidak boleh terlalu memilih pekerjaan," kata Yuen sambil memaklumkan beliau dan rakan-rakan berpuas hati apabila kerja-kerja nyahkuman itu berjaya diselesaikan.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan hari ini, Singapura mengklasifikasikan 1,729 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 35,218 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sementara itu Pengarah Getz Cleanz, Glenn Ong berkata Yuen dan pekerja yang lain telah menjalani latihan yang ketat dengan kriteria piawaian pembersihan yang perlu dipenuhi sebelum memulakan pekerjaan.

"Kesemua kakitangan kami telah memperoleh Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ), bererti mereka diberi lesen sepenuhnya dan dilatih untuk membersihkan rumah atau pejabat dengan begitu bersih," katanya.

Syarikat itu turut melindungi Yuen dan lebih 60 rakan sekerjanya di bawah Insurans Liabiliti Awam dan insurans pampasan kecederaan semasa bekerja, selain Akta Pampasan Pekerja dan Akta Liabiliti Awam.

Getz Cleanz yang mempunyai lima pekerja sahaja ketika memulakan operasi pada 2017 menawarkan perkhidmatan seperti operasi semburan nyahkuman dan pembersihan bangunan komersial dan pejabat, permaidani, bahan-bahan upholsteri serta kerja-kerja pembersihan di rumah serta pembersihan selepas pengubahsuaian.

Ong menjangkakan Yuen dan rakan-rakannya akan sibuk pada bulan-bulan akan datang berikutan peningkatan permintaan bagi kerja-kerja nyahkuman daripada operator bangunan komersial dan pejabat di republik itu apabila Singapura membuka semula ekonominya setelah mengakhiri pemutus jangkitan yang ketat pada awal bulan ini.

-- BERNAMA