MOSCOW: Pelabuhan Rotterdam di Belanda, yang merupakan pelabuhan terbesar di Eropah, masih belum melihat sebarang kesan daripada penghentian penghantaran melalui Selat Hormuz, namun kesannya hanya akan dapat dilihat dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, menurut jurucakap pelabuhan, Sigrid Hesselink, kepada RIA Novosti pada Khamis.
"Tiada kelewatan atau perubahan pada jumlah kapal tangki. Kita perlu menunggu seminggu atau dua minggu lagi untuk melihat kemungkinan perubahan tersebut," kata Hesselink.
Advertisement
Penghantaran melalui Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran pada 28 Feb, yang mengakibatkan kerosakan dan kemalangan jiwa dalam kalangan orang awam. Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan pangkalan tentera AS di seluruh Asia Barat.
Selat berkenaan merupakan laluan utama bagi bekalan minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, merangkumi kira-kira 20 peratus daripada perdagangan global bagi minyak, produk petroleum serta gas asli cecair.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI