Seorang pelajar perempuan diberkas kerana terlibat dalam kes langgar lari di Amerika Syarikat yang mengakibatkan seorang pelajar Singapura cedera parah.

Renuka Ramanadhan, 20 tahun, berada dalam keadaan kritikal selepas dilanggar sebuah kereta di kampus Universiti Buffalo, pada 1 November lalu jam 10 malam.

Keadaannya bagaimanapun sudah stabil dan beliau kini dirawat di sebuah pusat perubatan di Buffalo, menurut universiti tersebut.

Polis Universiti Buffalo pada Jumaat (16 Nov) memberkas Hannah Christensen, 20, yang didakwa meninggalkan tempat kejadian, gagal membuat laporan polis dan meninggalkan mangsa yang cedera parah.

Kedua-dua mereka merupakan pelajar di universiti itu.

Polis menyatakan Christensen memandu sebuah Honda Civic 2005 dan melanggar Renuka yang ketika itu sedang melintasi Hadley Road, untuk pulang ke kediamannya di hadapan apartmen Hadley Village.

Seseorang yang mengenali Christensen mengatakan suspek mengaku sudah melanggar seseorang di kampus.

Polis selepas itu mendapatkan waran untuk merampas kereta Christensen sebagai bukti.

Christensen kemudian memberi kerjasama dengan polis sepanjang siasatan, menurut universiti itu lagi.

Universiti Buffalo turut menyatakan bahawa akan melaksanakan tindakan tertentu bagi mengatasi masalah kelakuan pelajar namun tidak boleh mengulas lanjut tentang tindakan yang akan diambil atas sebab undang-undang privasi persekutuan. - Mediacorp.sg