HONG KONG: Seorang pelajar Chinese University of Hong Kong (CUHK) mendakwa telah dibuang daripada universiti selepas menggesa kerajaan bertanggungjawab terhadap kebakaran dahsyat di pangsapuri Wang Fuk Court yang meragut 168 nyawa pada Nov 2025.
Miles Kwan, 24, sebelum ini ditahan polis selama dua malam atas tuduhan niat menghasut selepas mengedar risalah menuntut siasatan bebas ke atas tragedi itu.
Advertisement
Menurut Kwan, pihak universiti menjalankan semakan disiplin sebelum merujuk kesnya kepada jawatankuasa disiplin pelajar, yang kemudian memutuskan untuk menamatkan pengajian beliau atas alasan beberapa salah laku disiplin.
Dalam surat yang dilihat AFP, Kwan menerima tiga demerit kerana mengkritik panel disiplin sebagai “kangaroo panel” dan “memalukan”, selain satu kes lama berkaitan tuduhan “kerosakan jenayah” setelah menampal pelekat peringatan Tiananmen pada 2022.
CUHK dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa mereka tidak mengulas kes individu, tetapi mengesahkan bahawa tiga demerit boleh membawa kepada penamatan pengajian seseorang pelajar.
Kwan berkata beliau sudah melengkapkan semua keperluan akademik dan dijadualkan bergraduasi pada Mac, namun mendakwa universiti menggunakan sijil kelulusan sebagai alat menekan bekas pelajar.
Beliau juga antara individu yang terlibat dalam petisyen menuntut akauntabiliti kerajaan, siasatan bebas kemungkinan salah laku dan rasuah, penempatan semula adil untuk mangsa, serta penambahbaikan pemantauan pembinaan.
Susulan tragedi itu, pihak berkuasa Hong Kong telah menubuhkan jawatankuasa bebas dipengerusikan seorang hakim untuk menyiasat punca kebakaran serta aspek keselamatan berkaitan.