INTERNATIONAL
Pelakon Angelina Jolie ulangi sokongan terhadap Gaza

Angelina Jolie sekali lagi menyatakan sokongannya terhadap Gaza dengan berkongsi satu laporan daripada pertubuhan Doctors Without Borders mengenai krisis kemanusiaan di wilayah itu. - Gambar fail
ISTANBUL: Aktres tersohor antarabangsa, Angelina Jolie, sekali lagi menyatakan sokongannya terhadap Gaza dengan berkongsi satu laporan daripada pertubuhan Doctors Without Borders mengenai krisis kemanusiaan di wilayah itu menerusi hantaran Instagram Story beliau.
Jolie yang pernah berkhidmat selama lebih dua dekad sebagai Duta Muhibah dan Utusan Khas untuk UNHCR iaitu agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – Doctors Without Borders menggambarkan situasi di Gaza sebagai “kubur besar buat rakyat Palestin dan mereka yang cuba membantu,” lapor agensi berita Anadolu.
“Ketika tentera Israel menyambung dan memperluas serangan ketenteraan melalui udara, darat dan laut ke atas Semenanjung Gaza, memaksa penduduk berpindah dan secara sengaja menghalang bantuan penting, nyawa rakyat Palestin sekali lagi dimusnahkan secara sistematik,” menurut kenyataan itu.
Laporan tersebut turut menyatakan, serangan maut oleh Israel mengancam keselamatan petugas bantuan kemanusiaan dan kesihatan di Gaza.Ia menyeru pihak berkuasa Israel supaya segera menamatkan kepungan yang tidak berperikemanusiaan dan membawa maut ke atas Gaza serta melindungi nyawa rakyat Palestin, termasuk petugas bantuan dan kesihatan.
Hantaran itu juga menyuarakan harapan agar gencatan senjata dapat diwujudkan semula.
Lebih 51,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza sejak serangan ganas Israel bermula pada Oktober 2023, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami