Pelampau Kristian, Anders Behring Breivik, yang disabit kesalahan membunuh 77 orang dalam insiden pembunuhan beramai-ramai di Oslo pada 2011, menang kes saman hak asasi ke atas kerajaan Norway.

Mahkamah daerah Oslo membenarkan tuntutan Breivik bahawa hukuman pengasingan ke atasnya adalah satu bentuk pencabulan hak asasi di bawah Konvensyen Eropah.

Dalam keputusannya, hakim Helen Andenaes Sekulis menegaskan Brevik mempunyak hak untuk mendapat layanan berperikemanusiaan, bagi mewakili nilai-nilai asas dalam masyarakat yang demokratik dan hak itu juga terpakai ke atas pengganas dan pembunuh.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Norway membayar yuran guaman Breivik bernilai AS$41,000.

Breivik yang menjalani hukuman penjara 21 tahun atas jenayahnya, sebelum ini mencabar kerajaan berhubung pengasingannya, yang menyaksikan dia dikurung antara 22 ke 23 jam sehari.

Brevik juga tidak mempunyai hubungan dengan banduan lain dan hanya dibenarkan berhubung dengan kakitangan penjara menerusi kaca tebal.

Dia juga mendakwa berdepan gangguan, termasuk menjalani pemeriksaan setiap 30 minit di sebelah malam, dan adakalanya diminta melakukan pemeriksaan badan dengan kehadiran pegawai wanita.

Sementara itu, Perdana Menteri Norway, Erna Solberg enggan mengulas kes tersebut.

Solberg percaya setiap warganegara wajar mendapat perlindungan undang-undang dan mempunyai peluang membawa kes mereka ke mahkamah.

Bagaimanapun keputusan mahkamah ini mendapat reaksi berbeza kalangan mangsa yang terselamat dalam serangan Breivik.

Eskil Pederson menyifatkan kemenangan pelampau haluan kiri itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Seorang lagi mangsa terselamat, Bjorn Ihler pula berpendapat kes tersebut membuktikan Norway mempunyai sistem perundangan yang menghormati hak asasi walaupun ia melibatkan pelampau.

Breivik bertanggungjawab membunuh 77 orang awam ketika serangan yang disifatkan pembunuhan beramai-ramai pada 22 Julai 2011.

Dia meletupkan sebuah kereta di hadapan pejabat Perdana Menteri ketika itu, Jens Stoltenberg di Oslo.

Letupan itu menyebabkan lapan terbunuh.

Breivik kemudian menaiki ferry ke Pulau Utoya, dan kemudian melepaskan tembakan rambang ke arah kumpulan remaja di sebuah kem musim panas, yang menyaksikan 69 orang maut.

Breivik berjaya diberkas dalam tempoh 90 minit selepas serangan itu.