Seorang pelancong dari Switzerland kini bertarung nyawa selepas bas mini yang dinaikinya merempuh seekor zirafah dalam satu kemalangan di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan, lapor The Telegraph.

Haiwan seberat 750 kilogram (kg) itu sebelum itu dikatakan merempuh sebuah lagi kenderaan sehingga tercampak ke laluan bertentangan dan menghempap bumbung kenderaan mangsa.

Akibat impak, mangsa dilaporkan cedera parah dan diselamatkan melalui udara oleh pasukan penyelamat dan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di Johannesburg pada Isnin.

Isterinya yang turut berada dalam kenderaan sama hanya mengalami luka ringan bersama dua lagi penumpang.

Zirafah yang memiliki ketinggian sekitar lima meter itu bagaimanapun terbunuh dalam kemalangan.

Manakala sebuah lagi kenderaan iaitu sebuah van yang membawa 13 penumpang ke Letaba Rest Camp turut sama merempuh haiwan berkenaan.

Sementara itu, polis Afrika Selatan masih berusaha menyiasat punca kemalangan.

Pada masa sama, jurucakap taman negara, Ike Phaala menyifatkan kemalangan itu sebagai satu kemalangan yang amat mengecewakan.

“Zirafah itu dirempuh dengan kuat sehingga rebah di atas kenderaan pelancongan yang datang dari arah bertentangan dan dipandu oleh sepasang suami isteri dari Switzerland.

“Kami enggan membuat spekulasi. Kami sudah memberi peringatan kepada semua pelancong bahawa haiwan di dalam taman ini mempunyai hak di atas jalan raya dan boleh muncul secara tiba-tiba,” jelasnya.

Zirafah merupakan haiwan darat yang terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga enam meter tinggi dengan berat mencecah 800kg.