ISTANBUL: Seorang pakar dalam penyelidikan air memberi amaran bahawa pelepasan sisa air nuklear Fukushima oleh Jepun ke Lautan Pasifik boleh membawa maut.

Rancangan Jepun untuk membebaskan sisa air tercemar ke laut telah mencetuskan kebimbangan global, kata ketua Gabungan Jurutera Pertanian Istanbul, Murat Kapikiran.

"Dunia tahu bahawa isotop cesium (bahan radioaktif) dalam air yang tercemar mempunyai separuh hayat iaitu selama 30 tahun. Isotop ini berbahaya dan boleh membawa maut sekiranya bersentuhan dengan makhluk hidup.

"Malah diketahui satu miligram daripadanya sudah cukup berbahaya untuk memusnahkan bangunan besar.

"Oleh itu, pembuangan sisa air ini boleh membawa kepada bencana global yang meluas," kata Kapikiran kepada Xinhua dalam temu bual dalam talian.

Beliau percaya air yang tercemar boleh merebak ke seluruh dunia dibawa arus laut yang kuat, hingga memberi kesan kepada kesihatan manusia.

"Bahan nuklear akan terkumpul di dalam daun pasti akan membahayakan kesihatan manusia, atau struktur luar biasa dalam rantai makanan akan mempunyai kesan penyebab kanser."

Beliau menyatakan bahawa pencemaran itu akan memberi kesan besar kepada ikan di sepanjang pantai, terutamanya di Pasifik.

"Boleh dikatakan dengan jelas bahawa ia akan menjejaskan telur ikan dengan ketara dan menyebabkan mutasi dalam populasi ikan dan tumbuhan akuatik," katanya sambil menyatakan ia boleh membawa maut kepada mereka yang mengambil produk itu.

Kapikiran menggesa Jepun bertindak berdasarkan data saintifik dan menggunakan kaedah lain untuk menangani sisa air yang tercemar tanpa merosakkan alam sekitar.

Beliau menyuarakan harapan untuk yang mengutamakan faedah global, mengatakan bahawa adalah lebih baik untuk membersihkan cesium dan isotop radioaktif lain serta unsur-unsur lain daripada air dan kemudian melepaskannya ke alam semula jadi.

Menurut laporan media, Jepun sedang mempertimbangkan untuk membebaskan air Fukushima ke laut pada akhir Ogos atau awal September.

-- BERNAMA