MADRID: Sekali lagi pemakaian topeng pelitup muka diwajibkan di hospital dan pusat penjagaan kesihatan di Sepanyol bermula Rabu.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Kesihatan ketika mana negara itu berdepan wabak selesema.

Arahan itu dikeluarkan selepas mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan wakil wilayah itu yang mengawal sistem kesihatan masing-masing.

Sepanyol yang teruk terjejas akibat gelombang pertama COVID-19 pada 2020, sudah beberapa hari mempertimbangkan langkah itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa wilayah yang tidak bersetuju untuk kembali memakai topeng pelitup muka.

Semasa mengeluarkan arahan itu, Menteri Kesihatan Monica Garcia menarik perhatian bahawa negara belajar daripada peristiwa sejak pandemik COVID-19 bermula, tiga tahun lepas.

Katanya, kerajaan memikirkan bahawa isu berkenaan ditangani sebaiknya dan ia adalah tentang isu pelitup muka untuk melindungi pesakit dan mereka yang merawat di semua pusat kesihatan dan hospital.

Beliau menambah, pemakaian pelitup muka adalah langkah yang efektif dan disokong dengan bukti saintifik yang diterima dalam populasi global.

Wilayah timur Valencia dan Catalonia pada Jumaat berkata mereka akan turut mengarahkan pekerja kesihatan dan pesakit memakai topeng pelitup muka.

Sejak beberapa hari lalu, doktor di Sepanyol memberi amaran berkenaan lonjakan jumlah kes selesema, selain COVID-19 dan virus yang mengganggu sistem pernafasan.

Topeng pelitup muka diwajibkan di Sepanyol sepanjang pandemik, di mana perintah berkurung di negara itu antara yang paling ketat di dunia.