Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat Thailand (PDRC) mengulangi pendirian tidak akan mengadakan rundingan dengan pusat pematuhan keamanan dan arahan, CMPO supaya menghentikan penutupan bandaraya Bangkok.

Ketuanya, Suthep Thaugsuban menegaskan akan meneruskan kempen sehingga usaha menggulingkan kepimpinan perdana menteri Yingluck Shinawatra tercapai.

Kenyataan berkenaan dibuat selepas CMPO mengumumkan akan menghantar pasukan perunding bagi meminta penunjuk perasaan meninggalkan bangunan kerajaan yang diduduki.

Bagi tujuan berkenaan, ketua polis Adul Saeng-Sing-Kaw akan mengetuai delegasi yang mengadakan perbincangan mulai Selasa sehingga Jumaat.

Jika gagal mencapai matlamat, dia memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang ingkar.

Suthep sebelum ini membayangkan penolakan terhadap pelawaan mengadakan perbincangan akan dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk menggempur kedudukan penunjuk perasaan.

Bagi menghadapi situasi itu, dia meminta supaya lebih ramai para penyokongnya keluar menyertai bantahan anti kerajaan.

Beliau bagaimanapun menasihati penyokongnya supaya tidak membawa sebarang senjata ke lokasi tunjuk perasaan.