FLORIDA: Seorang pembantu juruterbang berusia 20 tahun adalah antara sembilan mangsa yang maut selepas sebuah jet kecil terhempas dan meletup di Florida pada Ahad.
Media Amerika Syarikat melaporkan, Nathalia Filgueiras yang memperoleh lesen juruterbang pada usia 17 tahun, merupakan salah seorang daripada dua kru penerbangan yang berada di dalam pesawat Learjet 60 yang berlepas dari Austin, Texas menuju ke Bahamas.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) memaklumkan, siasatan akan memberi tumpuan kepada sejauh mana faktor pembentukan ais dan keadaan bergelora (turbulence) menyumbang kepada nahas itu, selain meneliti kemungkinan berlakunya kesilapan manusia.
Seorang lelaki yang berada di darat cedera pada bahagian kaki selepas pesawat berkenaan menjunam ke sebuah jalan berhampiran kawasan Cresthaven, kira-kira 14 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Rakaman dan imej dari lokasi kejadian menunjukkan kawah besar yang masih terbakar di tengah jalan kawasan perumahan.
Pegawai siasatan berkata, serpihan pesawat ditemui bertaburan di padang sukan, premis perniagaan dan kediaman berhampiran, sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa pesawat itu mula berkecai sebelum menghentam tanah.
Menurut NTSB, kru pesawat memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sejurus selepas berlepas dari Austin bahawa mereka berdepan keadaan ais dan pergolakan udara sederhana.
"Kami sedang melalui hujan dan memohon kebenaran untuk naik ke ketinggian 37,000 kaki jika dibenarkan," menurut komunikasi terakhir kru dengan pengawal trafik udara.
Anggota NTSB, Tom Chapman berkata, kurang 30 saat kemudian pesawat itu mula kehilangan altitud sebelum kru mengeluarkan panggilan kecemasan mayday.
Beliau berkata, komunikasi seterusnya menjadi tidak jelas sebelum hubungan terputus.
Data analisis penerbangan menunjukkan jet berkenaan menjunam pada kadar ratusan kaki sesaat sebelum terhempas.
Rakaman audio komunikasi trafik udara turut merekodkan seorang kru mengisytiharkan kecemasan sambil memaklumkan pesawat berada dalam keadaan "overspeed" dan sedang menurun pada kadar 20,000 kaki seminit.
Tidak lama kemudian, kru itu dilaporkan berkata pesawat berkenaan bakal terhempas ke tanah.
Kira-kira 35 saat selepas panggilan mayday pertama dibuat, mesej terakhir yang direkodkan dari kokpit ialah, "kami sudah kehabisan masa."
Ibu kepada Filgueiras, Camila Corteleti mengesahkan kepada media tempatan bahawa anaknya terkorban dalam letupan yang tercetus selepas nahas itu.
Dalam temu bual bersama New York Times, beliau berkata, anaknya amat mencintai dunia penerbangan kerana ia memberikan kebebasan dan perspektif berbeza melihat dunia dari udara.
Dalam satu wawancara dengan stesen sekutu CBS News pada 2023, Filgueiras berkongsi rasa bangga kerana berjaya memperoleh lesen juruterbang ketika masih berada di sekolah menengah.
Beliau ketika itu berkata, minatnya untuk terbang menjadikannya berbeza daripada rakan-rakan seusia, malah ramai yang menganggap pelik apabila beliau mampu mengendalikan pesawat sebelum memiliki pengalaman luas memandu kenderaan.
Identiti lapan lagi mangsa yang berada dalam pesawat itu masih belum didedahkan pihak berkuasa.
NTSB turut memaklumkan, penyiasat sedang mengenal pasti sama ada pesawat berkenaan dilengkapi perakam suara kokpit dan sama ada peralatan itu dapat ditemui semula.
Menurut agensi itu, proses menentukan punca sebenar nahas dijangka mengambil masa yang panjang.
Siasatan kini dijalankan dengan kerjasama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pengeluar Learjet, pakar meteorologi serta pakar kawalan trafik udara.
Penyiasat keselamatan udara NTSB, Timothy Monville berkata, usaha mengalihkan bangkai pesawat dari kawah yang terbentuk di atas jalan raya merupakan cabaran besar.
Beliau turut mengesahkan seorang individu yang berada dalam kenderaan berhampiran lokasi nahas mengalami kecederaan pada kaki.
Rakaman video yang belum disahkan dan tular di media sosial dipercayai memaparkan detik pesawat itu menjunam sebelum berlaku letupan besar.
Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan rakaman tersebut sebagai sesuatu yang mengerikan untuk disaksikan.
"Seolah-olah sebuah peluru berpandu sedang menjunam sebelum berlaku letupan besar dengan serpihan berterbangan ke merata tempat," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang dahsyat.
Pejabat Sheriff Palm Beach County memaklumkan, nahas berlaku di Military Trail, sebuah jalan enam lorong yang dikelilingi premis perniagaan dan restoran.
Ribut petir turut dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan ketika insiden berlaku.
Trump berada di Mar-a-Lago pada pagi Ahad dan berlepas menggunakan Air Force One dari lapangan terbang berhampiran kira-kira sejam sebelum pesawat terbabit terhempas. - Agensi