JOHANNESBURG: Hampir 8.4 juta permohonan tiket diterima bagi perlawanan peringkat kumpulan antara India dan Pakistan pada Piala Dunia Kriket Lelaki ICC 2027 yang akan berlangsung tahun depan.
Edisi 2027 kejohanan itu dianjurkan bersama oleh Afrika Selatan, Zimbabwe dan Namibia.
India dan Pakistan dijadual bertemu pada 10 Oktober di Stadium Wanderers, di sini, yang hanya mampu menampung 34,000 penonton.
Venue yang sama turut menjadi lokasi perlawanan akhir pada 21 November, dengan hampir lapan juta permohonan tiket direkodkan setakat ini.
Perlawanan pembukaan kejohanan pada 7 Oktober pula akan menyaksikan ulangan final Piala Dunia 2023 yang menyaksikan Australia mengejutkan India di Ahmedabad.
Aksi India menentang Pakistan merupakan antara perlawanan paling dinantikan dalam kalendar kriket dunia selain dianggap paling lumayan dari segi komersial.
Namun, persaingan itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini lebih memihak kepada India yang memenangi sembilan pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan.
Kemenangan terakhir Pakistan ke atas India dicatatkan dalam saingan Piala Asia 2022.
Pakistan diundi dalam kumpulan yang turut dibarisi Australia, Afghanistan, Zimbabwe serta satu lagi pasukan yang layak melalui pusingan kelayakan.
England pula menghuni satu lagi kumpulan bersama tuan rumah Afrika Selatan, Bangladesh, Sri Lanka, New Zealand dan sebuah lagi pasukan dari pusingan kelayakan.
Tiga pasukan terbaik daripada setiap kumpulan, bersama satu pasukan tempat keempat terbaik, akan mara ke peringkat Super 7 sebelum empat pasukan teratas melayakkan diri ke separuh akhir. - Agensi