WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan penampilan awam terakhirnya sebelum pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa untuk menonjolkan projek naik taraf di Washington, ketika Parti Demokrat bergelut menangani perpecahan dalaman dalam perlumbaan sengit Senat AS di Michigan.
Pada hujung minggu lalu, Ahli Dewan Perwakilan AS dari Demokrat, Haley Stevens yang tewas kepada Abdul El-Sayed dalam pemilihan awal Demokrat bagi kerusi Senat Michigan mengejutkan ramai apabila mengalihkan sokongan kepada calon Republikan, Mike Rogers.
Stevens turut tampil bersama Rogers di sebuah gereja di Detroit.
Perlumbaan di Michigan dianggap penting bagi peluang Demokrat untuk menamatkan penguasaan Republikan yang kini memegang majoriti 53-47 di Senat.
Dalam satu-satunya penampilan awam yang dijadualkan pada Isnin, Trump yang sebelum ini bergiat sebagai pemaju hartanah menghabiskan lebih 20 minit memperincikan kerja-kerja naik taraf Kolam Pantulan Memorial Lincoln di Washington.
Beliau menyentuh pelbagai aspek teknikal termasuk paip, sambungan, bahan penebat, kerja pelapisan semula granit, masalah alga dan kebocoran sempena pembukaan semula kolam berkenaan yang tertangguh.
"Saya mempunyai banyak perancangan hebat untuk Washington," kata Trump sambil turut menyebut projek lain termasuk kawasan rumput di White House, tapak pendaratan helikopter Marine One yang baharu, padang golf dan sebuah gerbang kemenangan yang kini berdepan cabaran undang-undang.
Trump hanya menyentuh secara ringkas mengenai pilihan raya dengan berkata: "Apabila anda mengundi, ingatlah bahawa sebuah parti yang membenci Amerika tidak boleh dibenarkan memerintah rakyat yang membina negara ini."
Demokrat mendahului tinjauan
Penganalisis bebas secara amnya melihat Demokrat mempunyai peluang lebih cerah untuk menguasai Dewan Perwakilan, manakala persaingan bagi mengawal Senat dilihat lebih terbuka.
Beberapa negeri yang lazimnya cenderung kepada Republikan seperti Texas, Kansas dan Iowa kini dianggap kompetitif, sekali gus membuka lebih banyak laluan untuk Demokrat meraih majoriti.
Jika Demokrat berjaya menguasai salah satu dewan Kongres, mereka berupaya menyekat agenda perundangan Trump serta memperluaskan siasatan terhadap pentadbirannya.
Penguasaan Senat pula membolehkan mereka menghalang pelantikan hakim persekutuan termasuk ke Mahkamah Agung.
Tinjauan Reuters/Ipsos yang selesai dijalankan pada Isnin mendapati 46 peratus pengundi berdaftar menyatakan sokongan kepada Demokrat dalam pilihan raya Kongres, berbanding 38 peratus yang memilih Republikan.
Bagaimanapun, kelebihan lapan mata peratusan itu lebih kecil berbanding 11 mata yang direkodkan dalam tinjauan sama seminggu sebelumnya.
Sementara itu, 32 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Trump sebagai Presiden, tidak berubah daripada minggu sebelumnya.
Pentadbiran Trump campur tangan pertikaian pilihan raya
Pentadbiran Trump turut cuba campur tangan dalam pertikaian pilihan raya di Alaska dan California.
Seorang hakim persekutuan pada Ahad menolak saman Jabatan Kehakiman AS yang cuba menghalang pengesahan keputusan pilihan raya di Alaska sekiranya Senator Republikan penyandang, Dan Sullivan, tewas tipis.
Di California pula, hakim mengarahkan pentadbiran Trump menghentikan usaha memaksa pegawai pilihan raya negeri itu mengasingkan undi daripada individu yang disyaki bukan warganegara.
Trump kemudiannya memfailkan permohonan kecemasan kepada Mahkamah Agung AS bagi menghalang sementara pengiraan undi pos melibatkan lebih 20,000 pengundi berdaftar yang didakwa kerajaan persekutuan berkemungkinan bukan warga AS.
California menegaskan tindakan itu berisiko melucutkan hak mengundi kira-kira 20,000 individu berdasarkan tuduhan yang tidak jelas, selain mendakwa proses mengenal pasti bukan warganegara yang digunakan kerajaan terdedah kepada kesilapan.
Pada masa sama, Jabatan Kehakiman mengumumkan pertuduhan terhadap enam lagi individu atas kesalahan mengundi sebagai bukan warganegara di California, menjadikan jumlah keseluruhan yang didakwa kepada 34 orang.
Perpecahan Demokrat di Michigan
Sokongan Stevens terhadap Rogers memberikan tamparan kepada Demokrat di Michigan, namun kempen El-Sayed memaklumkan ia berjaya mengumpul AS$2.4 juta dalam tempoh sehari, jumlah kutipan harian tertinggi setakat ini.
El-Sayed, seorang Muslim keturunan Mesir yang dilahirkan di Michigan, menjadi sasaran serangan politik Trump dan beberapa pemimpin Republikan yang mempersoalkan kesetiaannya kepada AS serta menuduhnya sebagai penyokong pengganas tanpa sebarang bukti.
Beliau menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai memalukan.
Serangan lisan itu dilihat sebahagian daripada retorik politik yang semakin memecahbelahkan menjelang pilihan raya, dengan sebahagian pihak Republikan turut menyasarkan komuniti Arab Amerika, Muslim dan transgender selain melabel Demokrat sebagai komunis atau radikal berbahaya.
Di Warren, pinggir bandar Detroit, seorang pengundi Demokrat berusia 72 tahun, Pamela Johnson mengecam tindakan Stevens selepas mengundi El-Sayed.
"Haley Stevens seorang pengkhianat," katanya.
Namun ibu Stevens, Maria Marcotte, mempertahankan keputusan anaknya dengan mendakwa ia dibuat susulan kebimbangan terhadap retorik politik yang dikaitkan dengan El-Sayed.
Sementara itu, William Byrne, 74, seorang pesara tukang paip yang pernah mengundi Republikan sebelum ini berkata, dia memilih El-Sayed kerana percaya Demokrat perlu mengambil alih kawalan politik bagi mengekang pengaruh Trump.
Pilihan raya pertengahan penggal AS kali ini dilihat sebagai ujian besar terhadap pengaruh Trump, selain berpotensi mengubah keseimbangan kuasa di Washington untuk baki tempoh pentadbirannya. - Reuters