CANBERRA: David McBride, bekas peguam tentera Australia yang dipenjarakan kerana membocorkan dokumen pertahanan sulit berkaitan perang di Afghanistan, dibebaskan dengan parol selepas menjalani tempoh minimum hukuman penjara selama 27 bulan.
Keputusan itu disahkan oleh pejabat Peguam Negara Australia, Michelle Rowland, yang memaklumkan permohonan parol McBride telah dipertimbangkan dan diluluskan pada Khamis.
Beliau akan menjalani baki hukumannya dalam komuniti di bawah syarat dan pemantauan yang ditetapkan pihak berkuasa.
McBride dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan pada 2024 selepas mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan membabitkan pengambilan dan pendedahan dokumen pertahanan rahsia kepada wartawan.
Dokumen yang didedahkannya menjadi asas kepada siri laporan penyiasatan The Afghan Files yang diterbitkan oleh penyiar awam ABC pada 2017.
Laporan itu mendedahkan dakwaan salah laku dan kemungkinan jenayah perang membabitkan anggota tentera Australia semasa penugasan di Afghanistan.
Pendedahan tersebut kemudiannya membawa kepada siasatan menyeluruh yang dikenali sebagai Laporan Brereton.
Hasil siasatan itu menemukan bukti yang boleh dipercayai mengenai pembunuhan tidak sah terhadap 39 rakyat Afghanistan oleh anggota pasukan khas Australia.
Dalam satu kenyataan selepas pembebasannya, McBride mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan para penyokong yang terus bersamanya sepanjang tempoh pemenjaraan.
Beliau turut menghargai sokongan yang diterimanya daripada pelbagai pihak di Australia dan luar negara.
McBride turut mendedahkan bahawa beliau sedang menjalani rawatan bagi kanser paru-paru peringkat awal dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.
Menurutnya, penyakit itu dikesan pada peringkat yang masih boleh dirawat.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa berhujah bahawa tindakannya membocorkan dokumen sulit telah menjejaskan kepentingan keselamatan dan pertahanan Australia.
Namun, pasukan pembelaan menegaskan beliau bertindak atas keyakinan bahawa maklumat berkenaan perlu diketahui umum demi kepentingan awam.
Kes McBride mencetuskan perdebatan meluas di Australia mengenai perlindungan terhadap pemberi maklumat, khususnya dalam kes yang melibatkan keselamatan negara dan pendedahan dakwaan salah laku oleh pihak berkuasa.
Susulan siasatan yang tercetus daripada pendedahan tersebut, beberapa bekas anggota tentera Australia berdepan siasatan dan pertuduhan berkaitan dakwaan jenayah perang dalam konflik Afghanistan.