Skip to main content

Dunia

Pembunuh bersiri Long Island dipenjara seumur hidup

Gilgo Serial Killer Rex Heuermann inside Judge Timothy Mazzei's courtroom at Suffolk County Court in Riverhead, New York, U.S., on Wednesday, June. 17, 2026. James Carbone/Pool via REUTERS
Pembunuh bersiri Gilgo, Rex Heuermann, di dalam bilik mahkamah Hakim Timothy Mazzei di Mahkamah Daerah Suffolk, Riverhead, New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

NEW YORK: Seorang pembunuh bersiri terkenal di Amerika Syarikat (AS), Rex Heuermann, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku membunuh lapan wanita dalam kes yang dikenali sebagai pembunuhan Gilgo Beach.

Heuermann menerima tiga hukuman penjara seumur hidup bagi pembunuhan darjah pertama, selain hukuman tambahan 25 tahun hingga seumur hidup bagi empat pertuduhan pembunuhan darjah kedua, dengan semua hukuman dijalankan secara berturut-turut.

Keputusan dijatuhkan di mahkamah Riverhead, Long Island, selepas sesi perbicaraan yang penuh emosi apabila ahli keluarga mangsa menggambarkan kehilangan itu sebagai “kemusnahan sepanjang hayat”.

Pada April lalu, Heuermann mengaku bahawa dia mencekik dan mengikat mangsa sebelum membuang mayat mereka di kawasan pantai terpencil di Long Island.

Hakim Timothy Mazzei dalam ucapannya menyifatkan tertuduh sebagai “individu yang menjijikkan, hina dan pengecut”, sebelum mengarahkan dia dibawa keluar dari mahkamah, yang disusuli sorakan para hadirin.

Heuermann, yang tampil berpakaian sut gelap, hanya memberikan kenyataan ringkas sebelum hukuman dijatuhkan.

Dia mengakui kesalahannya dan berkata kata-katanya kini “tidak lagi bermakna”, sebelum menjawab “ya” apabila ditanya sama ada dia menyesal.

Pembunuhan berlaku antara 1993 hingga 2010, namun mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.

Mangsa yang dikenal pasti ialah:

  • Melissa Barthelemy (24)
  • Megan Waterman (22)
  • Amber Costello (27)
  • Maureen Brainard-Barnes (25)
  • Jessica Taylor (20)
  • Valerie Mack (24)
  • Sandra Costilla (28)
  • Karen Vergata (34)

Perbicaraan itu turut menyaksikan kenyataan penuh emosi daripada ahli keluarga mangsa.

Adik kepada Melissa Barthelemy mendedahkan bahawa tertuduh pernah membuat panggilan telefon selepas pembunuhan, memperincikan perbuatan jenayahnya ketika beliau berusia 15 tahun.

“Sudah 17 tahun sejak kali terakhir kita bercakap. Pandang saya ketika saya bercakap dengan kamu,” katanya kepada tertuduh.

Seorang sepupu kepada Jessica Taylor pula menggambarkan trauma menerima berita penemuan bahagian tubuh mangsa yang “tiada kepala dan tangan”.

“Selama 23 tahun kami menunggu. Seolah-olah hari ini tidak akan tiba,” katanya.

Anak mangsa Maureen Brainard-Barnes, Nicolette, berkata kehilangan ibunya sejak usia tujuh tahun telah membentuk keseluruhan kehidupannya.

“Seperti setiap pekerja seks, ibu saya adalah seorang manusia sepenuhnya,” katanya, menolak stigma terhadap ibunya.

Heuermann, seorang arkitek berusia 62 tahun dan bapa kepada dua anak, ditahan pada 2023 selepas pihak polis mengaitkannya dengan kes itu melalui bukti DNA daripada kotak piza.

Kes ini mula terbongkar pada 2010 apabila empat mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain di Pantai Gilgo, sebelum siasatan diperluaskan.

Pasukan khas yang ditubuhkan pada 2022, melibatkan agensi tempatan dan persekutuan, akhirnya berjaya mengenal pasti suspek dalam tempoh beberapa minggu.

Ahli keluarga mangsa mendakwa siasatan pada awalnya tidak cukup agresif kerana sebahagian mangsa adalah pekerja seks.

Penduduk tempatan turut meluahkan rasa kecewa terhadap tempoh lama yang diambil untuk membawa kes ini ke pengadilan.

Pendakwa daerah Suffolk, Ray Tierney, memuji ketabahan keluarga mangsa dan berharap mereka dapat meneruskan kehidupan.

“Kini tiba masanya untuk mereka sembuh,” katanya.

Kes ini kekal sebagai antara pembunuhan bersiri paling terkenal di AS, serta menjadi simbol perjuangan mendapatkan keadilan bagi mangsa yang terpinggir.

 

Must Watch Video

Advertisement