Pengisytiharan negara Islam baru di Iraq dan Syria oleh Pergerakan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIS) mungkin akan menyebabkan campur tangan dari negara lain.

"Rasa takut terhadap ISIS di Syria dan Iraq membenarkan kuasa luar, seperti Iran untuk campur tangan. Pengisytiharan ini juga akan memberi sebab kepada Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam hal kedua-dua negara," kata penganalisis politik isu-isu tamadun Islam moden Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pada Ahad, ISIS mengisytiharkan kawasan yang didudukinya di Iraq dan Syria sebagai negara Islam baharu, sekaligus menghapuskan Iraq dan Levant dari namanya.

Ia kini dikenali sebagai Daulah Islam Negara Islam (IS) sahaja dan kumpulan itu menggesa kumpulan al-Qaeda dan puak Sunni yang lain untuk melafazkan ikrar taat setia mereka.

ISIS telah berjaya menguasai beberapa daerah besar di barat dan utara Iraq.

Untuk dua tahun, kumpulan berkenaan turut berjaya menguasai beberapa bahagian Syria, mengenakan tafsiran undang-undang yang tegas dan dalam beberapa kes, didakwa membunuh pembangkang dari kumpulan Syiah.

Menurut laporan The Telegraph, pemimpin Iran berjanji akan membantu mempertahankan Iraq daripada ISIS jika perlu, dengan menggunakan kaedah sama yang digunakan untuk menentang kuasa-kuasa di Syria.

"Saya tidak pasti sama ada orang-orang ini (ISIS) mengetahui apa yang mereka sedang lakukan. Sekiranya berlaku ketidakstabilan yang berterusan di rantau ini, ia akan membawa berita yang baik dan kestabilan bagi Israel. Kemunculan 'negara baru' akan membolehkan Iran untuk lebih mendalami di Iraq, dan juga kekal di Syria untuk menyokong Bashar al-Assad, “tambah Mazlee.

"Seperti biasa, peperangan yang berterusan akan membawa manfaat kepada pembekal-pembekal senjata api, tidak kira pihak mana."

Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat masih belum memberi respon yang lebih berat dalam menangani kumpulan ISIS walaupun kumpulan tersebut sudah berjaya menawan banyak wilayah-wilayah di utara Iraq.

“Ia berbeza dengan apa yang mereka (Amerika Syarikat) lakukan sebelum ini untuk menentang Al-Qaeda di Afghanistan.”

isis
ISIS mengisytiharkan pembentukan negara Islam baru diketuai oleh 'khalifah' Abu Bakr al-Baghdadi - gambar dari Jabatan Negara Amerika Syarikat

Menurut ketua jurucakap ISIS Abu Mohammed al-Adnani, pengisytiharan untuk kembali ke “pemerintahan khalifah” dilakukan setelah mesyuarat Majlis Shura kumpulan berkenaan.

Adnani turut berkata semua organisasi jihad kini perlu memberikan sokongan mereka kepada pemimpin ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi, yang telah diisytiharkan sebagai Khalifah di negeri yang baru ini.

ISIS bermula sebagai cabang al-Qaeda di bawah kepimpinan ahli jihad dari Jordan, Abu Musab al-Zarqawi, selepas serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Kumpulan ini bukan sahaja terkenal serangan agresif dan berani mati ke atas tentera Amerika Syarikat, mereka turut mensasarkan umat Islam Syiah dan Sunni yang tidak menyokong perjuangan mereka.