BANGKOK: Pemilihan kepimpinan Parti Demokrat akan diteruskan seperti yang dijadualkan meskipun beberapa anggota menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon agar undian pada Ahad ini ditangguhkan, menurut jurucakap parti, Ramet Rattanachaweng.

Memetik Bangkok Post, kira-kira 100 Demokrat meminta SPR membatalkan resolusi parti pada 9 Julai lalu serta menangguhkan perhimpunan khas untuk memilih pemimpin dan lembaga eksekutif baharu pada 6 Ogos, sehingga peraturan parti disemak semula.

Menurut kumpulan yang diketuai Chaiwat Traiyasunant itu, peraturan undian bernisbah 70:30 yang digunakan dalam proses pemilihan tidak mematuhi prinsip demokrasi.

Dalam masa sama, pengkritik berpendapat, di bawah peraturan itu, ahli parlimen semasa menyumbang 70% daripada jumlah keseluruhan, manakala ahli lain membentuk baki 30% yang mana peraturan harus disemak atau pusingan baharu pengundian mungkin menghadapi masalah.

Tambah Ramet, undian pada Ahad ini tetap diteruskan dan menambah bahawa walaupun persaingan adalah lumrah, parti Demokrat akan meletakkan nilai parti sebelum kepentingan mereka sendiri.

Dalam masa sama, pemerhati politik berpendapat persaingan kepimpinan Demokrat sebagai pengukur hala tuju politik parti itu dan sama ada ia mungkin menyertai gabungan yang dibentuk oleh Parti Pheu Thai atau kekal dalam kem pembangkang.

Terdahulu, mesyuarat 9 Julai lalu gagal memilih pemimpin baharu menggantikan Jurin Laksanawisit kerana kekurangan korum. Mesyuarat itu juga dilaporkan penuh dengan konflik antara dua kem yang bersaing untuk kepimpinan parti.

Satu pihak dikatakan menyokong kepulangan bekas ketua parti Abhisit Vejjajiva, manakala satu pihak lagi mendesak agar ahli yang lebih muda mengendalikan parti.

Jurin mengumumkan untuk berundur selepas pilihan raya pada 14 Mei, di mana parti tertua negara itu hanya menawan 25 kerusi Dewan, kira-kira separuh daripada jumlah yang dimenanginya pada pilihan raya 2019.