BANGKOK: Seorang warga Perancis yang menetap di pulau peranginan Koh Samui diarah meninggalkan Thailand selepas didakwa mengganggu ketenteraman awam serta mencetuskan ketegangan antara komuniti pelancong.
Perintah pengusiran bertarikh 7 September 2026 itu ditandatangani Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul, atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam.
Menerusi arahan berkenaan, lelaki itu yang dikenali sebagai Kevin Dimino dikehendaki meninggalkan negara itu dalam tempoh tujuh hari selepas menerima notis rasmi pengusiran.
Dimino, yang merupakan pemilik bersama Samui Exotic Park, menjadi warga asing kedua yang dikenakan perintah pengusiran di bawah peraturan pengusiran baharu Thailand yang mula dikuatkuasakan baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, seorang usahawan hartanah warga Israel, Yaacov Ohayon, menjadi individu pertama dikenakan tindakan sama selepas disabitkan kesalahan berkaitan ugutan terhadap keluarga Dimino.
Menurut dokumen pengusiran, Dimino didakwa melakukan ugutan, gangguan, serangan fizikal terhadap individu lain serta tindakan yang mencetuskan ketegangan antara kumpulan berlainan agama dan kewarganegaraan.
Dia turut dikenakan denda 5,000 baht (kira-kira RM615) oleh Mahkamah Wilayah Koh Samui selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Akta Trafik Jalan Raya Thailand berkaitan satu insiden pergaduhan jalanan.
Bagaimanapun, dokumen yang diterbitkan pihak berkuasa Thailand tidak memperincikan sepenuhnya butiran kesalahan lain yang dikaitkan dengan lelaki berkenaan.
Mengikut peruntukan semasa, Dimino mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri Thailand bagi membatalkan atau menangguhkan perintah pengusiran tersebut.
Pihak berkuasa Thailand berkata tindakan terhadap Dimino dan Ohayon diambil bagi memelihara ketenteraman awam serta memastikan Koh Samui kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat.