KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri minyak dan gas kini membuka ruang kepada kaedah pemantauan struktur yang lebih pintar, khususnya bagi memastikan keselamatan pelantar minyak dan gas luar pesisir yang semakin berusia.
Menyedari kepentingan aspek keselamatan dan penyelenggaraan aset industri itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil dengan inovasi dikenali sebagai REDiM (Real-Time Wireless Structural Dynamic Monitoring System), iaitu sistem pemantauan dinamik struktur tanpa wayar secara masa nyata.
Inovasi itu dibangunkan bagi membantu memantau keadaan struktur pelantar minyak luar pesisir secara lebih sistematik, sekali gus membolehkan perubahan tingkah laku struktur dikenal pasti bagi menyokong penilaian tahap keselamatannya.
Menurut Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Khairi Abu Husain, Pensyarah Kanan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM, pembangunan teknologi seumpama itu penting memandangkan struktur pelantar minyak yang telah lama beroperasi berdepan pelbagai cabaran akibat faktor usia dan persekitaran marin.
"Antara faktor yang boleh mempengaruhi ketahanan struktur berkenaan ialah beban ombak, arus laut, angin serta tekanan berterusan sepanjang tempoh operasi. Keadaan itu boleh menyebabkan perubahan pada tindak balas struktur dan memerlukan pemantauan bagi mengesan sebarang keadaan luar biasa.
"REDiM menggunakan pendekatan pemantauan tanpa wayar yang membolehkan data berkaitan dinamik struktur dikumpulkan secara masa nyata. Maklumat berkenaan boleh membantu pihak berkaitan memahami keadaan struktur tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kaedah pemeriksaan fizikal secara konvensional," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mohd Khairi berkata pendekatan itu turut memberi kelebihan dari segi kecekapan pemantauan kerana data yang diperoleh boleh digunakan untuk membantu jurutera menilai corak pergerakan, getaran dan tindak balas struktur terhadap persekitaran sekeliling.
Jelasnya, analisis berkenaan penting bagi mengenal pasti kemungkinan berlakunya perubahan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata penggunaan teknologi AI dalam penyelidikan pemantauan struktur luar pesisir juga membolehkan analisis data dilaksanakan dengan lebih teratur, termasuk meneroka kaedah pengesanan kerosakan berdasarkan corak tindak balas struktur.
"Selain membantu aspek keselamatan, sistem pemantauan sedemikian berpotensi menyokong perancangan penyelenggaraan yang lebih bersasar.
"Ini kerana maklumat keadaan struktur dapat dijadikan asas kepada penilaian keperluan pembaikan, sekali gus membantu mengurangkan risiko kerosakan yang tidak dikesan lebih awal.
"Pembangunan teknologi berkenaan juga mempunyai kepentingan ekonomi kepada industri minyak dan gas yang memerlukan pelaburan besar untuk membina, mengendalikan serta menyelenggara aset luar pesisir," ujarnya.
Menurut beliau, keupayaan memanjangkan tempoh penggunaan pelantar melalui penilaian keselamatan yang lebih sistematik berpotensi membantu mengoptimumkan kos operasi.
Malah, penyelidikan UTM dalam bidang pemantauan dinamik struktur pelantar luar pesisir berusia turut mendapat pengiktirafan menerusi syarikat ACTS Smart Solutions Sdn Bhd yang menerima Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan pada Malaysia Commercialisation Year (MCY) 2022.
Mohd Khairi berkata simulasi beban ombak hidrodinamik serta penilaian kebolehpercayaan dan risiko struktur, melihat penyelidikan seumpama itu sebagai antara usaha memperkukuh keupayaan kepakaran tempatan dalam menghasilkan teknologi untuk keperluan industri.
Inovasi ini adalah hasil daripada penyelidikan UTM yang memberikan impak secara terus kepada pembangunan inovasi di dalam negara bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama inisiatif Festival Of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).