JAKARTA: Calon Presiden Indonesia menyertai debat ketiga kempen menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) yang akan berlangsung pada 14 Februari depan.

Dalam debat yang diadakan, ketiga-tiga calon Presiden itu mengutarakan pandangan mereka mengenai pelbagai isu semasa membabitkan pertahanan, geopolitik dan diplomasi.

Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan akan bersaing merebut jawatan Presiden Indonesia dalam pilihan raya bulan depan.

Pada sesi debat itu, Prabowo menegaskan sekiranya dipilih, beliau akan berusaha mengekalkan hubungan positif dengan semua kuasa global selaras dengan dasar luar Indonesia yang "tidak bersekutu".

Debat itu disiar secara langsung di televisyen Indonesia.

"Ribuan sahabat mungkin terlalu sedikit. Seorang musuh itu banyak sekali. Indonesia akan melaksanakan dasar jiran yang baik.

"Kita teguh dengan pendirian memiliki pertahanan yang kuat. Mungkin ada yang bercakap sembarangan dan mahu realisasi cita-cita untuk jadi Presiden, jadi kenyataan mereka tidak objektif," katanya.

Bekas Jeneral pasukan khas itu turut menekankan kepentingan memperkukuhkan angkatan tentera untuk mempertahankan negara.

Kenyataan itu dibuat ketika Prabowo melahirkan kebimbangan mengenai situasi serupa dengan keadaan mencabar dihadapi Gaza akibat perang Israel-Hamas.

Indonesia merupakan penyokong tegar Palestin, selain menggesa penyelesaian konflik berdasarkan parameter dipersetujui antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk penyelesaian dua negara.

Dalam pada itu, Ganjar pula menekankan mengenai cadangan perjanjian sementara berhubung Laut China Selatan dengan menggariskan status Indonesia sebagai bukan penuntut di rantau itu.

Katanya, perjanjian sementara itu amat perlu mengambil kira isu pemodenan ketenteraan China yang berterusan dan dijangka dimuktamadkan menjelang tahun 2027.

Sementara itu, Anies pula membangkitkan isu ancaman seperti peningkatan insiden penggodam, selain menjanjikan penubuhan struktur pertahanan siber.

Kira-kira 205 juta pengundi yang layak dijangka keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo selepas selesai berkhidmat selama dua penggal.