INTERNATIONAL
Pemimpin sementara Yunus janji pilhan raya terbaik dalam sejarah Bangladesh

Yunus, seorang tokoh ekonomi terkenal, dilantik sebagai ketua kerajaan sementara selepas Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri. - Foto fail/AP
NEW DELHI: Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus berkata negara itu akan mengadakan pilihan raya "terbaik dalam sejarahnya".
Beliau menyatakan komitmen itu semasa pertemuan dengan delegasi Rangkaian Asia untuk Pilihan Raya Bebas (ANFREL) yang berpangkalan di Bangkok pada Khamis, di Dhaka dan memberi jaminan bahawa pilihan raya bebas dan adil akan diadakan antara Disember 2025 hingga Jun 2026.
"Kami mahu memastikan pilihan raya ini akan menjadi yang terbaik dalam sejarah Bangladesh dan menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan demokrasi negara," kata Yunus, menurut satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau pada Sabtu.
Yunus, seorang tokoh ekonomi terkenal, dilantik sebagai ketua kerajaan sementara selepas Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri ke India pada Ogos tahun lepas susulan kebangkitan besar-besaran yang dipimpin oleh pelajar menentang pemerintahannya.Beliau dituduh oleh parti pembangkang memenangi pilihan raya melalui penipuan untuk terus berkuasa.
Parti pimpinannya, Liga Awami, pada 2011 memutuskan untuk memansuhkan keperluan penubuhan kerajaan sementara bagi mengendalikan pilihan raya.
Hasina meraih kemenangan keempat berturut-turut pada Januari 2024 selepas pencabar utamanya termasuk Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memboikot pilihan raya.
Pilihan raya pada 2014 dan 2018 turut dicemari dakwaan berlakunya ketidakadilan susulan tindakan keras terhadap pembangkang dan boikot oleh pemimpin BNP dan merangkap bekas Perdana Menteri Khaleda Zia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami