Skip to main content

Malaysia

Malaysia cadang guna semula bateri EV terpakai bekalkan elektrik kepada komuniti luar bandar

Nga pada TED Talk Pavilion Malaysia bertemakan “Closing the Loop: Malaysia's Journey Towards Zero Waste” bersempena dengan COP31 ke-31 di Antalya, Turkiye. - Foto Facebook/Nga Kor Ming
Nga pada TED Talk Pavilion Malaysia bertemakan “Closing the Loop: Malaysia's Journey Towards Zero Waste” bersempena dengan COP31 ke-31 di Antalya, Turkiye. - Foto Facebook/Nga Kor Ming

Ringkasan AI

  • Malaysia mencadangkan penggunaan semula bateri EV tamat guna sebagai sistem penyimpanan tenaga untuk komuniti luar bandar dan kemudahan kesihatan.
  • Cadangan ini adalah sebahagian daripada tiga penyelesaian mempercepat ekonomi kitaran, termasuk pelaksanaan Pasport Bahan Digital dan insentif kewangan berasaskan prestasi.
  • Blueprint Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal 2025–2035 menyasarkan kadar kitar semula 40 peratus dan pengalihan 53 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang 2035.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan agar bateri kenderaan elektrik (EV) yang telah ditamatkan penggunaannya dimanfaatkan semula sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi membekalkan elektrik kepada penduduk luar bandar, penempatan masyarakat Orang Asli serta kemudahan kesihatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu sekali gus memastikan manfaat ekonomi konomi kitaran turut dinikmati komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.

Beliau berkata cadangan dikenali “Dividen Ekuiti Kitaran” itu antara tiga penyelesaian dikemukakan Malaysia bagi mempercepat pelaksanaan ekonomi kitaran di kawasan bandar pada peringkat global serta memacu agenda sifar sisa.

Advertisement

Ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi TED Talk Pavilion Malaysia bertemakan “Closing the Loop: Malaysia's Journey Towards Zero Waste” bersempena dengan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) ke-31 di Antalya, Turkiye, Nga berkata inisiatif itu bermatlamat memastikan manfaat ekonomi kitaran diagihkan secara lebih saksama dan inklusif, khususnya kepada komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan asas.

“Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia 2025–2035 menetapkan sasaran nasional untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus dan pengalihan 53 peratus jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2035, menerusi sokongan inisiatif seperti Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR), Pengasingan Sisa di Punca (SAS) serta projek perintis Daerah Sifar Sisa di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Advertisement

“Pada 2024, Malaysia menjana 14.5 juta tan metrik sisa pepejal perbandaran, dengan sisa makanan merangkumi 44.5 peratus manakala plastik 13.2 peratus, selain lebih RM2 bilion dibelanjakan setiap tahun bagi pengurusan sisa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Nga berkata dua lagi cadangan berkenaan menumpukan kepada usaha menjadikan bandar sebagai “Bank Bahan” menerusi pelaksanaan Pasport Bahan Digital secara mandatori, yang membolehkan komposisi, kitar hayat dan potensi penggunaan semula bahan dalam produk industri serta infrastruktur dijejaki.

Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan sumber bernilai seperti litium dan tembaga diperoleh semula untuk digunakan semula, berbanding dibuang begitu sahaja.

Cadangan kedua melibatkan penggantian sistem bayaran fi pelupusan sisa di tapak pelupusan konvensional dengan Geran Kitaran Berasaskan Prestasi dan Bon Peralihan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Menerusi pendekatan ini, pihak berkuasa tempatan akan menerima insentif kewangan berdasarkan pencapaian alam sekitar yang boleh diukur, termasuk kadar kitar semula, pengurangan sisa ke tapak pelupusan dan pengurangan pelepasan metana,” katanya.

Berdasarkan pengalaman Malaysia melaksanakan “Sistem Lampu Isyarat” di kesemua 156 pihak berkuasa tempatan, beliau berkata pembiayaan berasaskan prestasi mampu menggalakkan majlis tempatan melabur dalam kemudahan kitar semula, sistem biodigester teragih, pengkomposan serta penyelesaian pengurusan sisa mampan lain.

Nga yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat turut dijadual menyertai dua sesi perbincangan panel iaitu “Future Fit Cities: Nature, Resilience and Innovation: Shaping the Cities of Tomorrow” serta “Zero Waste: From Waste to Watts: Steps to Scale Zero Waste for Climate-Resilient Cities and Energy Security”.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari luar negara dan rakan strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar mampan serta ekonomi kitaran.

COP31 yang berlangsung dari 9 hingga 20 Nov menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, pegawai kanan kerajaan, organisasi antara kerajaan dan pelbagai hala, kumpulan masyarakat sivil, pengamal penyesuaian iklim serta tokoh belia bagi memperkukuh kerjasama global dalam tindakan menangani perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement