Skip to main content

Malaysia

Sistem digital SPR wajar diberi keutamaan dalam perlindungan siber - Pakar

SPR memaklumkan bekerjasama dengan MCMC dan pihak berkaitan bagi melindungi laman sesawangnya daripada sebarang pencerobohan.
SPR memaklumkan bekerjasama dengan MCMC dan pihak berkaitan bagi melindungi laman sesawangnya daripada sebarang pencerobohan.

Ringkasan AI

  • Sistem digital SPR disaran diberi keutamaan dalam perlindungan NCII kerana menjadi rujukan utama pengundi untuk maklumat rasmi pilihan raya.
  • Pakar menegaskan keperluan pelan tindakan kecemasan dan kerjasama SPR dengan MCMC untuk menangani gangguan siber serta penyebaran maklumat palsu.
  • SPR telah memaklumkan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi melindungi laman sesawangnya daripada ancaman serangan siber dan memastikan akses maklumat terjamin.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sistem digital Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar diberi keutamaan dalam perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) memandangkan platform itu menjadi rujukan pengundi untuk mendapatkan maklumat rasmi pilihan raya.

Pakar perang saraf yang juga penganalisis keselamatan dan politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata langkah perlindungan serta pelan tindakan kecemasan perlu disediakan lebih awal bagi memastikan pengundi  masih mendapat maklumat rasmi sekiranya berlaku gangguan.

Mengulas dakwaan serangan siber terhadap laman sesawang SPR, beliau berkata laporan awal belum memadai untuk menentukan sejauh mana sistem itu terjejas manakala gangguan akses perlu dibezakan dengan pencerobohan yang menjejaskan kerahsiaan atau integriti data.

Advertisement

“Dakwaan serangan siber itu berlaku mungkin perkara nyata tetapi tahap serangan siber itu juga harus kita kenal pasti,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk Keselamatan Siber: Melindungi Integriti Pilihan Raya terbitan Bernama TV pada Selasa.

Noor Nirwandy berkata laman sesawang SPR menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan maklumat calon, menyemak tempat mengundi dan mengikuti perkembangan pilihan raya.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, kesan gangguan siber boleh melangkaui masalah capaian jika maklumat palsu yang tersebar susulan insiden berkenaan menimbulkan kekeliruan dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap proses pilihan raya.

Beliau turut menekankan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam bekerjasama menangani penyebaran maklumat palsu termasuk kandungan palsu janaan kecerdasan buatan (AI) atau deepfake.

Noor Nirwandy turut menasihati orang ramai agar berwaspada terhadap cubaan penyamaran termasuk mengingatkan bahawa SPR juga boleh dimanipulasi untuk memperdayakan orang ramai.

“Pelbagai agensi dan sektor kritikal seperti SPR tidak boleh dipandang rendah… SPR perlu menyediakan pelan kontingensi agar maklumat penting pilihan raya kekal boleh diakses jika saluran utama terganggu selain memperkukuh perlindungan data dan kerjasama dengan agensi keselamatan siber,” katanya.

Terdahulu, SPR memaklumkan bekerjasama dengan MCMC dan pihak berkaitan bagi melindungi laman sesawangnya daripada sebarang pencerobohan selepas siaran langsung suruhanjaya itu di media sosial memaklumkan platform berkenaan dipercayai berdepan ancaman serangan siber.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata laporan berhubung perkara itu telah diberikan kepada pihak berkaitan sebagai langkah awal bagi memastikan sistem suruhanjaya berkenaan terus dilindungi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement