Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pemohon terpilih program kad hijau AS berisiko gagal peroleh visa

Pemohon terpilih program Visa Imigran Kepelbagaian AS masih berisiko gagal memperoleh visa akibat kelewatan pemprosesan dan kekangan tempoh pengeluaran visa. - Foto USCIS Immigration
Pemohon terpilih program Visa Imigran Kepelbagaian AS masih berisiko gagal memperoleh visa akibat kelewatan pemprosesan dan kekangan tempoh pengeluaran visa. - Foto USCIS Immigration

Advertisement

WASHINGTON: Pemohon yang terpilih menerusi program visa kad hijau Amerika Syarikat (AS) mungkin gagal memperoleh visa imigran walaupun program itu disambung semula, berikutan kelewatan pemprosesan dan tempoh pengeluaran visa yang terhad, menurut peguam Elizabeth Krukova, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Program yang dikenali sebagai Visa Imigran Kepelbagaian (Diversity Visa lottery) menggunakan kaedah pemilihan secara rawak bagi memberi peluang kepada warga asing yang layak memperoleh status pemastautin tetap di AS.

Awal bulan ini, sebuah mahkamah persekutuan AS mengarahkan pihak berkuasa meneruskan program berkenaan bagi 2027 yang menawarkan sehingga 55,000 visa imigran.

Mengikut perintah mahkamah itu, Jabatan Negara AS perlu mengumumkan butiran program selewat-lewatnya pada 29 Okt, manakala pendaftaran dijadual dibuka pada 1 Nov.

"Risiko utama ketika ini ialah kekangan masa dan ketidakpastian mengenai prosedur pemprosesan. Walaupun seseorang memenuhi semua syarat yang ditetapkan, mereka mungkin masih gagal memperoleh visa akibat kelewatan," kata Krukova.

Beliau turut memaklumkan mengenai syarat permohonan baharu, termasuk kewajipan mengemukakan maklumat pasport yang sah serta salinan pasport.

Krukova juga mengingatkan pemohon supaya tidak mempercayai mana-mana pihak yang menjanjikan mereka pasti terpilih atau menawarkan proses pengeluaran visa yang dipercepatkan.

Pentadbiran AS menggantung program itu pada Disember 2025 susulan insiden tembakan di Universiti Brown, Rhode Island.

Suspek, seorang warga Portugal yang memasuki AS menerusi program berkenaan, turut disyaki membunuh seorang profesor Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Pentadbiran AS menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan negara dan keperluan menyemak semula prosedur saringan sebagai alasan penggantungan program itu.

Bagaimanapun, pemilihan menerusi program berkenaan tidak menjamin seseorang memperoleh visa imigran atau status pemastautin tetap AS.

Pemohon yang terpilih masih perlu memenuhi syarat kelayakan dan melengkapkan proses permohonan visa dalam tempoh serta kuota tahunan yang ditetapkan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement